Anda di sini

MSPO perluaskan pasaran produk sawit PKP

Advertisement
 Ling bergambar bersama kakitangan MPOB Miri selepas menyampaikan peruntukan RM3,000 dan buah limau mandarin.
DIRAIKAN: Ling bergambar bersama kakitangan MPOB Miri selepas menyampaikan peruntukan RM3,000 dan buah limau mandarin.

MIRI: Pekebun Kecil Persendirian (PKP) tanaman sawit di negeri ini diseru mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi membolehkan produk mereka dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling berkata, masih ramai PKP belum mendapat Pensijilan MSPO meskipun kerajaan telah memperluaskan pengenalan MSPO di seluruh negara.

"Sejumlah 60 peratus PKP Zon Utara telah mendapatkan sijil MSPO, bagaimanapun kerajaan akan terus menerangkan keperluan dan kebaikan MSPO," katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

MSPO tambahnya, adalah langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuh industri sawit negara selari dengan kehendak negara pengimport dan pengguna sawit seluruh dunia yang mahu produk itu dihasilkan secara mampan dan selamat.

“Pensijilan ini sekali gus memperkasa pekebun kecil dan penanam sawit bagi meningkatkan hasil pengeluaran seterusnya menjamin pendapatan lebih tinggi,” jelasnya.

Ling berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Tengah Hari sempena Sambutan Tahun Baharu Cina bersama kakitangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Miri baru-baru ini.

“Oleh itu, adalah amat penting untuk PKP mendapatkan pensijilan MSPO bagi membolehkan produk mereka terus mendapat tempat di pasaran antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ling berkata jamuan itu bertujuan bukan sahaja meraikan TBC tetapi juga sebagai satu saluran baik untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

Beliau berharap cawangan MPOB di Sarawak akan lebih giat mengadakan 'outreach programme' supaya dasar dan inisaitif kerajaan dapat disampaikan kepada akar umbi secara lebih berkesan.

"Selaku ahli Lembaga MPOB, saya pasti akan mengambil berat terhadap permintaan di sini dan memberi segala bantuan kepada kakitangan di sini," jelasnya.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM3,000 kepada Kelab Kakitangan MPOB Miri dan menaja tiga unit alat pendingin hawa untuk MPOB Miri.

Majlis makan tengah hari itu ditaja Kumpulan TK Jaya dan dihadiri Datuk TK Ling.

Sepuluh kotak limau mandarin juga diagihkan kepada semua kakitangan.

Turut hadir Ketua MPOB Wilayah Sarawak Murphy Solomon, Ketua Pejabat MPOB Miri Abu Kushairi Senong dan Penyelaras Tunas Zon Sarawak II Khairul Abidin.

  • oleh
  • Advertisement