Anda di sini

MAVCOM mengenakan penalti terhadap AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang

Advertisement
 

KUCHING: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengenakan penalti kewangan terhadap AirAsia Berhad (AirAsia), AirAsia X Berhad (AirAsia X) dan sebuah syarikat subsidari di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MA Sepang).

Menurut kenyataan akhbarnya hari ini, penalti kewangan yang dikenakan adalah sebanyak RM2,000,000 terhadap AirAsia dan AirAsia X juga dikenakan penalti dengan amaun yang sama. 

"Penalti tersebut dikenakan kerana kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan masih mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit, serta caj pemprosesan perbankan dalam talian, yang berasingan daripada tambang asas yang dimana ianya adalah pelanggaran Kod Pelindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dari tempoh 10 Ogos 2019 hingga 11 September 2019," katanya.

Menurutnya lagi, ini merupakan kali kedua AirAsia dan AirAsia X telah didapati melanggar keperluan MACPC. 

Manakala, MA Sepang pula dikenakan penalti kewangan sebanyak RM856,875 kerana tidak memenuhi beberapa sasaran bagi elemen kualiti perkhidmatan yang ditetapkan oleh MAVCOM dalam Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang) pada suku kedua tahun 2019.

AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dikenakan terhadap setiap syarikat-syarikat tersebut pada 16 Januari lepas.

AirAsia dan AirAsia X dikenakan penalti kerana tidak mematuhi Kod Perlindungan Pengguna.

MACPC telah berkuat kuasa pada 1 Julai 2016, dan seterusnya ditambah baik dengan pindaan-pindaan yang dikuatkuasakan pada 1 Jun 2019 untuk memastikan hak-hak pengguna penerbangan dilindungi dengan lebih baik. 

Salah satu pindaan dalam MACPC, iaitu subperenggan 3(2), mengenakan syarat untuk penzahiran penuh tambang tiket syarikat penerbangan.

Seksyen 69(4) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] dan perenggan 22 MACPC, memberi kuasa kepada Suruhanjaya untuk mengenakan penalti kewangan kerana syarikat itu tidak mematuhi MACPC.

Pihaknya mengenakan jumlah tidak melebihi RM 200,000 dan kerana ingkar kepada patuhan kedua berikutnya, suatu amaun sepuluh kali daripada penalti kewangan telah dikenakan bagi ketidakpatuhan yang pertama.

Kali pertama Suruhanjaya mengenakan penalti kewangan sebanyak RM200,000 terhadap AirAsia dan AirAsia X adalah pada September 2019, kerana kedua penerbangan tersebut didapati melanggar subperenggan 3(2) MACPC apabila mereka mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit serta caj pemprosesan perbankan dalam talian, yang berasingan daripada tambang asas dari tempoh 1 Jun 2019 hingga 9 Ogos 2019. 

"Oleh kerana kedua-dua AirAsia dan AirAsia X sekali lagi didapati tidak mematuhi subperenggan 3(2) MAVCOM memutuskan untuk mengenakan penalti sebanyak RM2,000,000 terhadap AirAsia dan jumlah yang sama bagi AirAsia X.

“Yakni sepuluh kali penalti kewangan yang dikenakan pada September 2019, kerana tidak mematuhi dari tempoh 10 Ogos 2019 hingga 11 September 2019 seperti yang diperuntukan oleh Akta 771," katanya.

Pada masa yang sama, rangka kerja QoS Lapangan Terbang, yang dilaksanakan di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA dan klia2) pada 1 September 2018, telah diperkenalkan untuk memastikan pengendali lapangan terbang menyediakan tahap perkhidmatan dan infrastruktur yang baik bagi pengguna di lapangan terbang.

MAVCOM mendapati bahawa MA Sepang telah gagal memenuhi beberapa keperluan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang dalam tempoh 1 April 2019 hingga 30 Jun 2019. 

Selaras dengan seksyen 98A(3)(b) Akta 771, Suruhanjaya telah mengenakan penalti kewangan berjumlah RM856,875 terhadap MA Sepang.

Advertisement