Anda di sini

Kreatif anjur acara untuk tarik ramai pelancong

Advertisement
 Lee (tengah) bersama tetamu dan hadirin pada Majlis Perasmian Pembukaan Bazar TBC 2020.
RASMI: Lee (tengah) bersama tetamu dan hadirin pada Majlis Perasmian Pembukaan Bazar TBC 2020.

MIRI: Penganjur disaran lebih kreatif dalam sebarang penganjuran acara agar dapat menarik lebih ramai pelancong ke Miri khususnya dan Sarawak.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata di samping membuka gerai-gerai jualan sempena Tahun Baharu Cina (TBC), penganjur juga boleh memasukkan acara selingan bagi memeriahkan suasana program itu.

“Ini kali pertama saya melihat pengunjung begitu ramai membanjiri dua lokasi penganjuran Bazar TBC iaitu di Jalan High Street dan Miri Times Square.

“Jelas menunjukkan sekiranya kita di sini menganjurkan program besar seperti ini, ia dapat menarik lebih ramai orang yang terdiri saripada penduduk sekitar dan pelancong,” katanya ketika merasmikan Pembukaan Bazar TBC di sini malam kelmarin.

Program anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI) ini memasuki tahun ke-18 penganjurannya dan beliau menyifatkannya sebagai acara sangat berjaya.

Lee memuji inisiatif MCCCI mengadakan program itu saban tahun dengan menggunakan dana pembiayaan sendiri dan mencari dana lain.

Dalam pada itu, Lee mendedahkan bagi merealisasikan bandar raya Miri sebagai sebuah bandar pintar, kementerian beliau berusaha membina satu sistem pintar dengan trak sampah.

“Saya sedia maklum aduan mengenai kutipan sampah domestik menjadi antara isu hangat diperkatakan penduduk di sini.

“Oleh itu, kementerian saya berusaha membina satu sistem di mana kita boleh menjejaki trak sampah tersebut,” ujarnya.

Lee berkata, dengan adanya sistem itu pengguna dapat mengetahui jadual kutipan sampah dilakukan, jam kutipan sampah dan berapa banyak sampah dikutip.

“Sistem itu membolehkan kita menjejaki sama ada trak sampah itu ada melalui kawasan rumah kita atau tidak.

“Saya baharu sahaja mengadakan mesyuarat bersama Sarawak Information System (SIS) bekerjasama membina teknologi terbaharu bagi sistem tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran delegasi Majlis Perbandaran La Trinidad dari wilayah Benguet, Filipina diketuai Datuk Bandarnya Romeo K. Salda.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii, Residen Bahagian Miri Mastapha Julaihi, Pegawai Daerah Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Pengerusi MCCCI Lee Khoi Yun.

  • oleh
  • Advertisement