Anda di sini

KPDNHEP senarai 16 jenis barangan sempena Tahun Baharu Cina

Advertisement
 Frankie (kiri) bersama Georgie (dua kiri) dan Taha melihat harga telur serta barangan keperluan di Pasaraya Mydin.
TINJAU: Frankie (kiri) bersama Georgie (dua kiri) dan Taha melihat harga telur serta barangan keperluan di Pasaraya Mydin.

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP) Negeri Sabah menyenaraikan 16 jenis barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2020 bermula 20 Januari hingga 2 Februari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, barang kering, hasil laut dan daging babi.

“Dalam tempoh kawalan harga selama 14 hari itu, harga barangan yang disenaraikan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011,” katanya kepada pemberita ketika melancarkan Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2020 Peringkat Negeri Sabah di Pasaraya Mydin Sejati Ujana Sandakan, semalam.

Beliau berkata KPDNHEP Negeri Sabah melaksanakan SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut pada 25 Januari ini.

“KPDNHEP telah mengenalpasti sebanyak 16 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 berbanding 13 jenis barangan sebelum ini. Penambahan barangan melibatkan cili merah, tomato dan ubi kentang import (China),” katanya.

Frankie berkata kesemua barangan ini mendapat permintaan yang tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan, oleh itu kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalan pasaran.

“Senarai harga barangan harga terkawal bagi SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 adalah seperti ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram dan 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram dan 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram dan 59.9 gram sebiji).

"Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), cili merah, tomato, ubi kentang import (China), bawang putih (China), ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor), udang putih besar (berat antara 41 hingga 60 ekor sekilogram), daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) dan babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja),” katanya.

Frankie berkata penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga.

Dalam pada itu, beliau berkata sebagai kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini, banyak langkah telah diambil dilakukan bagi memastikan harga barangan adalah berpatutan dan stabil.

“KPDNHEP sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi sepanjang masa dalam memastikan kestabilan harga barang di pasaran,” katanya.

Beliau menjelaskan antara tindakan-tindakan yang telah diambil adalah menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga.

“Menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 bagi mewajibkan peniaga meletak tanda harga keatas barangan yang dijual atau mempamerkan senarai harga,” katanya.

Frankie berkata tindakan itu juga termasuklah SHMMP bagi mengawal harga barangan musim perayaan tertentu semasa musim-musim perayaan utama dalam negara.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Negeri Sabah Georgie Abas dan Ketua Pengawai Penguatkuasa Negeri merangkap Timbalan Pengarah KPDNHEP Negeri Sabah Taha Julai.

 

  • oleh
  • Advertisement