Anda di sini

Kerjasama operator diperlukan untuk tingkat kualiti perkhidmatan bas awam di negeri ini - Lee

Advertisement
Lee (duduk, tengah) bersama operator-operator bas awam pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur hari ini.
Lee (duduk, tengah) bersama operator-operator bas awam pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur hari ini.


 
KUCHING: Menteri Pengangkutan Lee Kim Shin berkata masih banyak yang perlu dilakukan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan bas awam di negeri ini.

Beliau berkata demikian selepas merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan bas awam di Kuching dan Miri.

"Saya menunggu bas di hadapan City Inn (Jalan Abell) pada pukul 6 pagi hari ini untuk ke Bako. Saya menunggu sehingga pukul 7.50 pagi tetapi bas tidak datang.

"Saya bertanya kepada operator bus mereka memaklumkan pemandu bas sakit...Saya mengambil masa satu jam, 45 minit untuk sampai ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dari Pasar Stutong menggunakan bas sedangkan jaraknya hanya 8km," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga katanya terpaksa menunggu satu jam, 10 minit untuk mendapatkan perkhidmatan bas dari HUS ke Kota Samarahan.

Menurut Lee, di Miri beliau mendapati orang ramai masih bergantung kepada perkhidmatan bas awam.

"Di Permayjaya, pada pukul 5.30 pagi, bas pertama penuh dengan penumpang, bas seterusnya, pada 6.30 pagi juga penuh. Penumpang-penumpang ini menaiki bas untuk turun bekerja setiap hari," katanya.

Beliau menambah berdasarkan maklum balas dikumpul dari orang ramai, mereka berpendapat perkhidmatan bas harus tetap mengikut jadual, jika tidak ramai penumpang akan lewat ke tempat kerja.

Justeru beliau mahu operator bas awam di negeri ini meneliti dan memberi penekanan kepada jadual perjalanan bas mereka.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pemilik kenderaan persendirian menggunakan ruang untuk bas di Pasar Stutong di sini dan tiada jadual perjalanan bas diletakkan di hentian bas di situ.

"Bagaimana orang ramai tahu jadual perjalanan bas di situ, kalau operator tidak melekatkannya di hentian.

"Saya juga mendapati tidak ada tong sampah disediakan di situ," katanya sambil menambah bekas untuk membuang sampah mesti disediakan untuk orang mungkin mengambil makanan atau makanan ringan sambil menunggu bas.

Sehubungan itu, Lee menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan tong sampah di beberapa hentian bas berbumbung dan operator bas melekatkan jadual perjalanan bas disediakan oleh mereka.

Menurutnya, operator-operator bas memaklumkan kepadanya antara masalah dihadapi mereka ialah pemandu bas yang sudah berusia dan kos tinggi untuk mendapatkan lesen memandu bas iaitu sekitar RM6,000 hingga RM7,000.

Selain itu, wujud perkhidmatan van sapu dan Grab, tambahnya.

"Kementerian saya akan mengumpul semua maklumat, bekerja sama dengan pihak berkepentingan untuk membuat cadangan menyelesaikan masalah berkenaan," ujarnya.

Lee memberitahu kementeriannya mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan bas awam sedia ada pada masa sama berusaha memastikan program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) dilaksanakan.

Beliau katanya mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Persekutuan, Anthony Loke November tahun lalu bagi membincangkan beberapa isu berkaitan sistem pengangkutan awam Sarawak.

"Salah satu ialah bayaran insentif di bawah Dana Sokongan Sementara Bus Henti-Henti. Saya menegaskan operator-operator perlu dibayar segera," katanya.

Menurutnya, operator-operator bas di Sarawak telah menerima bayaran terkini September 2019.

"Apabila bayaran dibuat secara tetap, operator-operator bus mematuhi syarat-syarat perlesenan di bawah Lembaga Perlesenan Kenderaan Komersial (LPKP).

"Selain itu, kita memerlukan pangkalan bas untuk operator-operator meletakkan bas mereka. Kementerian saya akan mengambil berat perkara ini dan akan berhubung dengan pelbagai jabatan dan PBT untuk menyelesaikan masalah ini.

"Kementerian juga melihat kemungkinan menggunakan aplikasi mudah alih. Kementerian saya akan membuat kajian," katanya.

Lee juga memberitahu kementeriannya akan bekerjasama dengan semua pemegang taruh untuk mewujudkan penyelesaian praktikal dan menyediakan perkhidmatan bus awam yang memenuhi keperluan rakyat.

"Bagaimanapun semua ini memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan kerana kementerian ini masih baharu," tambahnya.

Advertisement