Anda di sini

Kawasan Pembangunan Sri Aman ditubuh untuk selaras dan percepatkan pembangunan - Abang Johari

Advertisement
Abang Johari dan tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama wakil penerima Surat Hak milik Tanah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri pads Majlis Pemimpn Bersama Rakyat do Dewan Suarah Sri Aman malam Ahad. - Gambar UKAS
Abang Johari dan tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama wakil penerima Surat Hak milik Tanah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri pads Majlis Pemimpn Bersama Rakyat do Dewan Suarah Sri Aman, malam Ahad. - Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan negeri akan menubuhkan Kawasan Pembangunan Sri Aman (SADA) dalam usaha menyelaras dan mempercepatkan pembangunan di Sri Aman.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata SADA yang akan dipengerusikan Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Karim akan memastikan pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan bermula dari Lubok Antu hingga Sri Aman dapat disepadu, diselaras dan dipercepatkan lagi.

Beliau berkata penubuhan SADA merupakan pendekatan baharu kerajaan negeri untuk membangunkan Sri Aman agar pembangunan sektor pertanian, pelancongan, saling hubungan iaitu infrastruktur, bekalan air dan elektrik dapat diselaraskan.

"Saya berbincang dengan wakil-wakil rakyat di sini, tengah hari tadi dan mereka ternyata amat prihatin dengan kawasan kita, Sri Aman.

"Mereka mahu pembangunan di Sri Aman iaitu dari Lubok Antu hingga Simanggang diselaraskan seperti di tempat lain. Hasil perbincangan tadi, semua wakil rakyat di sini (Sri Aman) bersetuju mereka melantik Yang Berhormat Datuk Seri Rohani Karim sebagai pengerusi Jawatankuasa untuk mengkoordinasikan SADA," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, pada malam Ahad.

Abang Johari berkata SADA akan bekerja sama antara wakil-wakil rakyat di Sri Aman dengan agensi-agensi pelaksana serta Setiuasaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Unit Perancang Negeri dan jabatan-jabatan berkenaan.

Mengenai masalah bekalan air terawat yang sering dihadapi penduduk di Sri Aman, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kordinasi negeri hari ini di Sri Aman.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mencari sumber air baharu untuk dirawat seterusnya dibekalkan kepada penduduk Sri Aman termasuk di kawasan rumah panjang.

"Untuk Simanggang (Sri Aman) memang kita telah meluluskan beberapa projek termasuk Tebingan Sri Aman.

"Kita juga telah meluluskan peruntukan kira-kira RM20 juta untuk membangunkan taman hijau dikenali Taman Aman yang seluas 7 hektar atau 15 ekar di kawasan tapak astana lama," katanya.

Abang Johari menambah di bawah projek tersebut rumah residen sebelum ini akan dibangunkan menjadi muzium mini selain menaik taraf Jalan Astana, Jalan Main Bazaar, Jalan Abang Aing dan Jalan Resak yang akan menghubungkan Tebingan Sri Aman.

Mengenai pembinaan Tebingan Sri Aman yang bermula dari Kubu Alice hingga Tokong Cina, beliau berkata projek itu sudah mula dibangunkan dan dijangka siap Ogos 2021.

"Inilah projek-projek yang melibatkan kos keseluruhan lebih RM30 juta, yang telah diluluskan dan dilaksanakan untuk menaik taraf pembangunan di Simanggang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan membina jalan penghubung yang akan menghubung Pekan Lachau Sri Aman dengan Lebuh Raya Pan Borneo.

Selain itu juga kata,pusat pengumpulan hasil pertanian juga akan dibangunkan di Pekan Lauchau selepas mengambil kira peranan pekan itu sebagai lokasi petani tempatan menjual hasil tanaman mereka.

"Pekan Lanchau adalah pusat bandar organik iaitu ia boleh berkembang menjadi bandar penting kerana ia bukan sahaja lokasi petani tempatan menjual hasil tanaman mereka tetapi hentian utama untuk pengguna jalan raya.

"Ini akan merancakkan ekonomi di Pekan Lachau khasnya dan Sri Aman, amnya," katanya.

  • oleh
  • Advertisement