Anda di sini

Jabatan Muzium Sarawak diminta jejaki pengembaraan penulis novel Bahasa Inggeris di Simanggang

Advertisement
Abang Johari (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak di Sri Aman, pada Isnin. Turut kelihatan (dari kiri) Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Abang Johari (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak di Sri Aman, pada Isnin. Turut kelihatan (dari kiri) Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

SRI AMAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meminta Jabatan Muzium Sarawak untuk menjejak semula pengembaraan penulis novel bahasa Inggeris, William Somerset Maugham di Simanggang pada 1920-an.

"Kami sedia maklum akan kewujudan seorang tokoh sastera, Somerset Maugham yang menulis buku, dan beberapa bukunya diilhamkan oleh Sri Aman.

"Saya telah meminta Jabatan Muzium untuk mencari lokasi yang digambarkan dalam bukunya agar kami berupaya untuk menukar lokasi tersebut menjadi pusat warisan," kata Abang Johari kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Dengan berbuat demikian katanya, ia akan menjadi satu cara untuk menarik perhatian pelancong dan pelawat untuk datang dan melawat Sri Aman dan Batang Ai di Lubok Antu.

Maugham datang ke Borneo pada 1920-an sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Asia Tenggara. Sepanjang perjalanannya di Borneo, beliau menulis cerita-cerita fiksyen berdasarkan pengalaman sebenarnya.

Satu daripada perkara menarik mengenai perjalanan beliau ialah bukunya 'The Casuarina Tree', dengan kisah bertajuk 'The Yellow Streak', yang ditulis berdasarkan pengembaraannya di Simanggang.

Cerita ini adalah mengenai seorang lelaki bernama Izzart yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan seorang jurutera perlombongan bernama Champion. 

Izzat diupah oleh watak fiksyen iaitu Sultan Sembulu untuk mencari prospek perlombongan di Borneo.

Kedua-dua watak itu berhadapan kemalangan yang tidak diingini iaitu bot mereka terbalik semasa mengharungi benak Batang Rajang. 

Bagaimanapun, menurut buku itu, mereka selamat.

Maugham meninggal dunia pada usia 91 tahun dalam tahun 1965.

Sementara itu, Abang Johari mengumumkan pembinaan Dewan Suarah baharu bagi Sri Aman untuk menggantikan yang sedia ada.

Dewan Suarah sedia ada katanya, sudah tidak mampu menampung jumlah orang ramai. 

Beliau berkata rancangan ini sudah didedahkan semasa mesyuarat awal dan mereka berpendapat bahawa kos untuk menambah baik Dewan Suarah sedia ada akan bersamaan dengan membina bangunan yang baharu. 

Justeru beliau berkata, telah diputuskan bahawa adalah lebih baik untuk membina bangunan baharu di tapak baharu.

Dewan Suarah baharu yang dicadangkan ini akan menjadi sebahagian daripada rancangan Town Square Sri Aman yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Sri  Aman di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Sejumlah RM500 juta diperuntukkan bagi pembangunan fizikal bandar tersebut.

Abang Johari berkata bangunan asas Town Square telah siap termasuk beberapa kedai dan sebuah hotel.

Ia juga termasuk tujuh hektar kawasan hijau di tengahnya yang dipenuhi dengan pokok-pokok.

“Justeru, kami sedang menubuhkan Kawasan Pembangunan Sri Aman (SADA) yang akan mempercepatkan proses pembangunan Sri Aman dari Simanggang ke Lubok Antu, termasuk infrastruktur asas seperti jalan raya, serta sektor pertanian," katanya.

Advertisement