Anda di sini

Isu penjagaan kesihatan menjadi antara agenda utama diperjuangkan DAP Sarawak

Advertisement
CHONG
CHONG

KUCHING: Parti Tindakan Demoktratik (DAP) Sarawak akan berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pengagihan kuasa autonomi dalam bidang penjagaan kesihatan di negeri ini.


Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, bidang itu menjadi antara agenda utama Parti serta Pakatan Harapan (PH) Sarawak selain bidang pendidikan.


"Adalah menjadi pendirian kita selama ini bahawa penjagaan kesihatan dan pendidikan sepatutnya perlu ada penurunan kuasa kepada Sarawak.


"Ia sentiasa menjadi pendirian kita, namun amat dikesali dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang baharu sahaja selesai, isu ini tidak pernah dibangkitkan dan tidak pernah diperjuangkan dalam mesyuarat tersebut.


"Tiada usaha untuk memperjuangkan autonomi dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan yang akan diletakkan dalam kerajaan negeri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.


Chong berkata demikian susulan laporan media berhubung dua pegawai perubatan yang berkhidmat di Hospital Sibu, tidak akan diperbaharui kontraknya


Dr Wong Woan Hui dan Dr Bong Ing Hui antara empat pegawai perubatan yang tidak ditawarkan kontrak baharu dan tidak diperakui untuk lantikan tetap oleh kerajaan.


Kedua-dua mereka menerima surat kontrak tidak akan diperbaharui tanpa alasan diberikan oleh KKM pada November 2019.


Menurut Chong yang Timbalan Menteri Perdagagan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, isu penjagaan kesihatan dan pendidikan sudah timbul sejak 57 tahun lalu.


"Namun Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Barisan Nasional (BN), mereka kerajaan yang tidak boleh 'disentuh', semua kuasa berpusat ini berlaku disebabkan persetujuan dan kerjasama daripada mereka.


"Malah sekarang, walaupun dengan semua gempar-gempur tentang mahu berjuang untuk lebih autonomi, namun wakil negeri dalam rundingan dengan kerajaan persekutuan tidak melakukan apa-apa usaha untuk penurunan kuasa dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan," katanya.


Beliau berkata, masalah kedua-dua pegawai perubatan itu yang perkhidmatannya tidak dilanjutkan merupakan sebahagian daripada kesan keputusan yang berlaku sejak 57 tahun lalu.


"Selama tempoh 57 tahun lalu, tidak ada apa yang berlaku dan maka itu, sudah tiba masanya untuk pihak lain memperjuangkan isu ini," katanya.


Beliau dalam pada itu memberitahu, KKM sedang mengkaji isu berhubung dua pegawai perubatan itu yang kontraknya tidak akan dilanjutkan baru-baru ini.

  • oleh
  • Advertisement