LONDON: Putera Harry dari Britain dan isterinya Meghan akan melepaskan gelaran diraja mereka dan pembiayaan awam sebagai sebahagian daripada penyelesaian dengan Ratu Elizabeth II untuk memulakan kehidupan baharu jauh daripada monarki British.
Pengumuman bersejarah dari Istana Buckingham itu kelmarin menyusuli rundingan peribadi yang serius selama lebih seminggu untuk menangani kesan daripada peletakan mengejut pasangan yang suka mengembara itu dari kewajipan barisan depan diraja.
Ia bermakna cucunda Ratu Elizabeth II Harry, dan isterinya yang juga aktres TV Amerika Meghan, tidak akan menggunakan gelaran ‘Royal Highness’ lagi, nasib sama yang menimpa mendiang ibunya Puteri Diana selepas perceraiannya daripada Putera Charles pada 1996.
“Selepas perbualan selama berbulan-bulan dan perbincangan yang lebih terkini, beta gembira kerana kami sudah sama-sama menemui jalan ke depan yang membina dan menyokong cucunda beta dan keluarganya,” ratu berusia 93 tahun itu menyebut dalam satu kenyataan.
“Beta menyedari cabaran yang dialami mereka ekoran pengawasan ketat sejak dua tahun lepas dan menyokong hasrat mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih bebas.”
Kenyataan baginda merujuk kepada pertarungan dengan media yang mendorong Harry dan Meghan untuk menyaman beberapa akhbar pada Oktober lalu berhubung pencerobohan ke dalam kehidupan peribadi mereka.
Elizabeth II berkata, baginda khususnya bangga dengan cara Meghan dengan begitu cepat telah menjadi salah seorang anggota keluarga dan mendoakan pasangan itu kehidupan baharu yang aman bahagia.
Kenyataan berasingan yang dikaitkan dengan Istana Buckingham menyebut pasangan Sussex tidak akan menggunakan gelaran HRH kerana mereka bukan lagi anggota yang berfungsi dalam Kerabat Diraja”.
HRH ialah singkatan bagi ‘Duli Yang Amat Mulia’.
“Seperti yang dipersetujui dalam aturan baharu ini, mereka faham bahawa mereka perlu berundur daripada tugasan diraja, termasuk pelantikan ketenteraan rasmi.
“Mereka juga tidak lagi menerima dana awam untuk tugasan diraja,” kenyataan itu menyebut.
Penyelesaian itu menambah pasangan itu juga akan membayar balik wang pembayar cukai sebanyak £2.4 juta (RM14.4 juta) yang dibelanjakan untuk mengubah suai kediaman mereka di Frogmore Cottage berhampiran Windsor Castle.
Kebanyakan media British mentafsir keputusan itu sebagai hukuman baginda bagi kehidupan Harry dan Meghan yang tidak terkawal.
“Baginda menurunkan kuku besi,” kata pengulas diraja Sky News, Alastair Bruce.
Kenyataan Istana menyebut aturan baharu itu akan berkuat kuasa pada musim bunga 2020. — AFP