Anda di sini

Gantung segera pelaksanaan PSS: PEKADIN

Advertisement
SIMON
SIMON

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN) mengesyorkan kerajaan supaya segera menggantung cadangan memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) bagi menggantikan tiga dokumen warga asing di negeri Sabah.

Naib Presiden PEKADIN Simon Molubi berkata, ini kerana sebahagian besar rakyat tempatan negeri ini tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Beliau berkata persatuan itu berharap agar kerajaan sentiasa mendengar nadi dan perasaan rakyat terhadap pemberian PSS kepada pendatang haram yang boleh diperbaharui.

PEKADIN juga menyambut kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kadamian, Kota Belud kelmarin yang mahu berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri berhubung isu PSS.

"Kita harap cadangan PSS ini digantung segera demi masa depan rakyat tempatan dan generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada September tahun lepas, Kementerian Dalam Negeri telah mengumumkan cadangan memperkenalkan PSS di Sabah.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perkara itu berkata tiga dokumen yang dimaksudkan adalah Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IM13.

Muhyiddin berkata, kad PPS itu akan dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun ini dengan kriterianya juga mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari.

PSS itu dikatakan bertujuan meningkatkan cara penguatkuasaan untuk memastikan rekod warga asing ini berpusat dan seragam.



 

Advertisement