Anda di sini

Biaramas syarikat pengangkutan bas pertama sedia perkhidmatan ‘FIFA on Board’

Advertisement
 Sin Kiong (duduk, tengah) mengendalikan ‘FIFA on Board’ semasa majlis pelancarannya semalam. (duduk dari kanan) Abang Abdul Karim, Chon Foo, (berdiri dari kanan) Sam Tee, Henry, Bonnie dan Afiq.
TERBAIK: Sin Kiong (duduk, tengah) mengendalikan ‘FIFA on Board’ semasa majlis pelancarannya semalam. (duduk dari kanan) Abang Abdul Karim, Chon Foo, (berdiri dari kanan) Sam Tee, Henry, Bonnie dan Afiq.

KUCHING: Biaramas Express Sdn Bhd (Biaramas) pengendali BusAsia dipercayai syarikat pengangkutan bas pertama menyediakan perkhidmatan ‘FIFA on Board’ dengan kadar bayaran minimum.

Pengurus Besar Biaramas Lai Sin Kiong berkata sebelum ini BusAsia menyediakan Wi-Fi percuma kini mengambil inisiatif baharu dengan harapan dapat menyediakan pengalaman lebih menyeronokkan kepada penumpang sepanjang perjalanan.

“Kita akan mengenakan kadar bayaran RM5 bagi 30 minit tontonan dan ini tidak termasuk caj tambang yang dikenakan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran ‘FIFA on Board’ di Kompleks Mahkamah Lama di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg dan dihadiri tiga Pengarah Biaramas Lai Chon Foo, Lai Sam Tee dan Henry Lai, Eksekutif Jualan Produk Scania Malaysia Bonnie Anjun dan Presiden Persatuan Esports Sarawak Afiq Fadhli Narawi.

Lai berkata untuk permulaan, Biaramas menyediakan empat bas Scania Ecolution yang dilengkapi perkhidmatan ‘FIFA on Board’ melibatkan perjalanan pergi balik Kuching-Sibu- Mukah dan Kuching-Miri.

“Empat bas ini berwarna hitam kerana kita percaya hitam bukan sekadar warna tetapi melambangkan ‘gaya, kualiti dan kecemerlangan’.

“Minat kepada permainan bola sepak sejak berusia 10 tahun lagi mendorong saya menyediakan perkhidmatan ini kepada penumpang khususnya kaki bola.

“Saya telah membuat penyelidikan termasuk mencari maklumat daripada ‘google’ dan setakat ini tidak ada operator bas penumpang menyediakan perkhidmatan ini. Saya percaya kami yang pertama,” ujarnya.

Beliau berkata penumpang yang mahu menikmati diskaun tambang boleh membuat tempahan dalam talian BusAsia.my.

Penumpang katanya, boleh menikmati diskaun sehingga 90 peratus jika membuat tempahan dalam talian mengikut syarat dan terma ditetapkan.

Sementara itu, Abang Abdul Karim dalam ucapan perasmiannya berkata inisiatif Biaramas menyediakan perkhidmatan seumpama itu akan memberi nilai tambah kepada sistem pengangkutan awam di negeri ini.

“Tahniah kepada Biaramas atas idea yang saya anggap cukup baik ini. Ini adalah suatu yang baharu untuk sistem bas awam di Sarawak, khasnya.

“Saya yakin ia dapat menyumbang kepada sektor pelancongan dan bidang ekonomi lain,” katanya.

Advertisement