Anda di sini

Beberapa kenderaan terkandas dalam banjir di ladang sawit

Advertisement
 Penduduk kampung memantau keadaan beberapa kenderaan yang terkandas akibat banjir di ladang sawit tersebut.
TERKANDAS: Penduduk kampung memantau keadaan beberapa kenderaan yang terkandas akibat banjir di ladang sawit tersebut.

MIRI: Beberapa kenderaan yang diletakkan di sebuah ladang kelapa sawit terkandas dalam banjir dalam kejadian di Long Ikang dekat sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, kenderaan terbabit diletakkan oleh penduduk kampung di situ malam Jumaat lalu.

“Kawasan yang berlaku banjir ini adalah di ladang sawit Long Ikang manakala rumah-rumah penduduk di sekitar adalah jenis rumah dua tingkat.

“Mereka menyedari kawasan tersebut dinaiki air pada hari ini (semalam). Situasi semasa masih terkawal,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Law berkata, dua anggota polis dari Balai Polis Long Lama bersama Pegawai Tadbir Negeri Long Lama telah digerakkan ke kawasan tersebut menggunakan sebuah bot bagi membuat pemantauan.

Menurutnya, pihak bomba yang kini melakukan pemantauan di Long Loyang akan diarahkan ke Long Ikang bagi memberi bantuan.

“Jarak Marudi ke Long Ikang menggunakan bot lebih kurang tiga jam perjalanan manakala dari Long Lama ke Long Ikang lebih kurang empat jam. Pada ketika ini, kawasan tersebut tidak dapat dilalui menggunakan jalan darat,” ujarnya.

Sementara itu, hujan di hulu Sungai Bok dan Sungai Tinjar dipercayai menjadi faktor paras air sungai naik dengan begitu cepat sehingga Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Bok dilanda banjir pagi kelmarin.

Law berkata paras air di sekolah terbabit setakat jam 8 pagi dianggarkan setinggi enam inci.

“Air cepat naik mungkin disebabkan hujan di hulu Sungai Bok dan Sungai Tinjar dan cuaca pada pagi ini (kelmarin) mendung.

“Bagaimanapun, sekolah tidak beroperasi pagi ini (kelmarin) memandangkan cuti hujung minggu,” katanya.

Law berkata, kawasan sekolah terbabit yang dinaiki air ialah padang sekolah setinggi 1.5 kaki, dewan perhimpunan (dua inci) dan bawah rumah guru (lapan inci).

SK Kuala Bok mempunyai 44 murid yang kebanyakannya tinggal di asrama, 13 guru, tujuh Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dan 15 ahli keluarga staf sekolah.

Dalam perkembangan lain, SK Benawa masih dinaiki air dianggarkan setinggi enam hingga 20 inci setakat jam 8 pagi semalam.

Law berkata, antara kawasan dinaiki air banjir ialah padang sekolah setinggi 20 inci, depan bangunan prasekolah (14 inci), depan rumah guru (13 inci), bawah asrama (enam inci) dan bilik kelas (enam inci).

Advertisement