Anda di sini

17 lagi kes baharu virus misteri di China

Advertisement
 Para penumpang membanjiri stesen kereta api di Beijing, kelmarin dalam kesesakan perjalanan tahunan menjelang Tahun Baharu Cina. — Gambar AFP
PADAT: Para penumpang membanjiri stesen kereta api di Beijing, kelmarin dalam kesesakan perjalanan tahunan menjelang Tahun Baharu Cina. — Gambar AFP

BEIJING: China melaporkan 17 kes baharu bagi virus ala Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) yang penuh misteri semalam, termasuk tiga dalam keadaan teruk, yang memburukkan lagi kebimbangan menjelang percutian Tahun Baharu China apabila ratusan juta manusia bergerak di seluruh negara.

Jenis koronavirus yang baharu itu telah mencetuskan kecemasan kerana kaitannya dengan SARS, yang mengorbankan hampir 650 orang di tanah besar China dan Hong Kong pada 2002-2003.

Daripada 17 kes baharu di kota tengah Wuhan, dipercayai pusat wabak tersebut, tiga digambarkan sebagai teruk, dengan dua pesakit terlalu tenat untuk dialihkan, kata pihak berkuasa.

Mereka yang dijangkiti berusia 30 hingga 79 tahun.

Virus itu kini sudah menjangkiti 62 orang di Wuhan, kata pihak berkuasa bandar raya, dengan lapan orang dalam keadaan teruk, 19 sembuh dan dibenarkan pulang dari hospital, manakala pesakit lain masih dalam pengasingan untuk menerima rawatan.

Dua orang sudah meninggal dunia setakat ini kerana virus itu, termasuk seorang lelaki berusia 69 tahun yang mati pada Rabu lepas setelah penyakit itu menyebabkan batuk kering pulmonari dan merosakkan fungsi beberapa organ.

Pihak berkuasa berkata mereka sudah mula mengoptimumkan ujian ke atas kes pneumonia (radang paru-paru) di kota berkenaan untuk mengenal pasti mereka yang dijangkiti, dan akan memulakan kerja pengesanan bagi kes-kes yang disyaki di kota itu sebagai langkah seterusnya, selain menjalankan ujian sampel.

Saintis di Pusat MRC bagi Analisis Penyakit Berjangkit Global di Kolej Imperial, London, memberi amaran dalam akhbar terbitan Jumaat lepas bahawa jumlah kes itu di kota terbabit kemungkinan besar akan mencapai hampir 1,700, jauh lebih tinggi berbanding jumlah yang dikenal pasti secara rasmi.

Pihak berkuasa semalam berkata beberapa kes tidak ada sejarah hubungan dengan pasar makanan laut yang dipercayai menjadi pusat wabak.

Belum ada jangkitan dari manusia ke manusia disahkan setakat ini, tetapi suruhanjaya kesihatan Wuhan pernah menyatakan kemungkinan itu tidak boleh diketepikan.

Tiga kes turut dilaporkan di seberang laut, dua di Thailand dan satu di Jepun.

Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai langkah pemeriksaan di tanah besar, Timbalan Datuk Bandar Wuhan Chen Xiexin berkata kepada badan penyiaran kerajaan CCTV bahawa termometer inframerah sudah dipasang di lapangan terbang, stesen kereta api dan stesen bas penumpang di kota berkenaan.

Chen berkata penumpang yang demam telah didaftar, diberi penutup muka dan dibawa ke institusi perubatan, dengan hampir 300,000 ujian suhu badan sudah dijalankan, menurut CCTV.

Pihak berkuasa di Hong Kong sudah mempertingkatkan langkah pengesanan, termasuk pos pemeriksaan suhu yang ketat bagi pelawat yang datang dari tanah besar China.

Amerika Syarikat berkata bermula Jumaat depan, ia akan mula memeriksa pesawat penerbangan langsung dari Wuhan di lapangan terbang San Francisco dan JFK di New York, selain Los Angeles, di mana banyak penerbangan bersambung.

Thailand berkata ia sudah memeriksa penumpang yang tiba di Bangkok, Chiang Mai dan Phuket, dan tidak lama lagi akan memperkenalkan kawalan yang sama di pusat peranginan pantai Krabi.

Wuhan merupakan sebuah kota dengan 11 juta penduduk yang bertindak sebagai hab pengangkutan penting, termasuk pada waktu percutian tahunan sempena Tahun Baharu China, apabila ratusan juta warga China melakukan perjalanan di seluruh negara untuk mengunjungi keluarga masing-masing. — AFP

Advertisement