Anda di sini

16 barangan disenarai di bawah skim harga maksimum Tahun Baru Cina 2020 

Advertisement
Chong memeriksa harga ayam yang dijual di Pasaraya Emart Batu Kawa, Kuching hari ini dibawah SHMMP Tahun Baru Cina 2020. Turut kelihatan Stanley (kanan).
Chong memeriksa harga ayam yang dijual di pasar raya Emart Batu Kawa, Kuching hari ini di bawah SHMMP Tahun Baru Cina 2020. Turut kelihatan Stanley (kanan).

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 16 jenis barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2020. 

Timbalan menterinya, Chong Chieng Jen berkata skim ini dikuatkuasakan di seluruh negara selama 14 hari bermula hari ini hingga 2 Februari 2020 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baru Cina.  

“Semua barangan yang disenaraikan adalah barangan dimana permintaan tinggi dan tahun ini kita menambah tiga jenis barangan berbanding 13 tahun lepas iaitu cili merah, tomato dan ubi kentang China. 

“Justeru saya menyeru kepada peniaga untuk memberi kerjasama kepada pelaksanaan skim ini untuk manfaat pengguna,” katanya pada sidang media selepas lawatan pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2020 di pasar raya Emart di Batu Kawa di sini hari ini. 

Tambah Chong, berdasarkan kepada pengalaman tahun sebelum ini, pelaksanaan skim ini menerima sambutan serta kerjasama yang baik daripada para peniaga. 

Daripada pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara, hanya 0.001 peratus peniaga melanggar peraturan melibatkan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu. 

Dari segi penguatkuasaan katanya, kementeriaan mempunyai kekuatan keanggotan seramai lebih 3,000 orang di seluruh negara yang akan turun padang memeriksa serta memantau harga barangan sepanjang pelaksanaan skim tersebut.

Dalam pada  itu 16 jenis barangan yang disenaraikan di bawah skim ini ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, cili merah, tomato, ubi kentang China, bawang putih China, ikan bawal putih, udang putih besar, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak). 

Sehubungan itu Chong mengingatkan peniaga supaya tidak menjual barangan harga terkawal ini melebihi harga maksimum serta mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu. 

Tindakan tegas katanya akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini mengikut  Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. 

Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi kesalahan individu. 

Manakala kesalahan sama melibatkan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula boleh didenda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5000 bagi kesalahan individu dan denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan syarikat. 

Pengguna dalam pada itu boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui portal [email protected] atau WhatsApp ke 019-2794317 atau hadir ke mana-mana 73 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara. 

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datuk Stanley Tan dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechek. 

  • oleh
  • Advertisement