Anda di sini

Young tandatangani kontrak enam bulan bersama Inter Milan

Advertisement
YOUNG
YOUNG

MILAN: Pemain pertahanan Manchester United Ashley Young sudah menandatangani kontrak selama enam bulan bersama kelab di Itali, Inter Milan, dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak bagi semusim lagi, kelab Serie A itu mengesahkan pada Jumaat.

Pemain berusia 34 tahun itu, yang tamat kontrak dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada Jun, sudah melengkapkan perpindahan yang dilaporkan bernilai 1.5 juta euro (RM7.2 juta) campur bonus.

Young berada di Old Trafford selama lapan setengah musim sejak dia tiba dari Aston Villa pada 2011 dengan nilai sekitar 20 juta pound (RM120 juta).

“Mesej saya kepada penyokong ialah kejayaan akan kembali ke kelab ini,” kata Young mengenai kelab gergasi utara Itali itu yang tidak pernah memenangi kejuaraan Serie A sejak 2010.

“Itulah sebabnya kenapa saya di sini, saya mahu membantu pasukan ini mencapai objektifnya.

“Segalanya sudah ada untuk berjaya. Kami berharap untuk menggembirakan penyokong dan memenangi banyak trofi,” tambahnya.

“Anda telah memberi peluang kepada saya untuk bermain bersama legenda, memenangi trofi, bekerja di bawah pengurus paling hebat dalam sejarah dan menjadi kapten anda,” kata Young menerusi Twitter dalam satu ucapan selamat jalan kepada MU.

“Terima kasih di atas sokongan anda pada waktu baik dan waktu buruk. Saya meninggalkan kelab sebagai seorang daripada anda, jumpa anda lagi di sebelah pasukan lawan tidak lama lagi,” tambahnya dalam satu nota kepada penyokong MU.

Young, yang sudah bermain sebanyak 39 kali untuk England, membuat 261 penampilan untuk MU dan menjaringkan 19 gol.

Dia menjadi kapten kelab pada musim ini tetapi memulakan hanya 10 perlawanan sahaja dalam liga.

Dia memenangi kejuaraan EPL pada 2013, Piala FA pada 2016 serta Piala Liga dan Liga Europa pada 2017. — AFP

Advertisement