Anda di sini

Tiga blok rumah kongsi, tujuh kenderaan terbakar di Telipok

Advertisement
 Lima kenderaan didapati rentung, dan dua lagi terbakar kira-kira 30 peratus.
RENTUNG: Lima kenderaan didapati rentung, dan dua lagi terbakar kira-kira 30 peratus.

KOTA KINABALU: Tiga blok rumah kongsi melibatkan sembilan pintu di Perumahan Skim Penempatan Telipok, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi, hari ini.

Utusan Borneo difahamkan, tujuh kenderaan turut terjejas dengan lima daripadanya dilaporkan rentung sepenuhnya manakala dua lagi terbakar kira-kira 30 peratus.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan bahawa panggilan kecemasan diterima pada jam 5.30 pagi.

Sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan bantuan BBP Tuaran serta BBP Kota Kinabalu bergegas ke lokasi dengan tiga jentera, satu tangki dan sebuah EMRS.

Usaha memadam dan mengawal api daripada terus merebak di kawasan berkenaan dijalankan dengan menggunakan pancutan sumber air dari jentera dan pili bomba.

Operasi terbabit diketuai PBK II Rozam Syah Rahmat bersama kekuatan 25 anggota dan turut hadir di lokasi kejadian, Ketua Zon I Kota Kinabalu PgKB I Hamsah Isnurdini.

Bomba kemudiannya menamatkan operasi itu sepenuhnya pada jam 8.54 pagi selepas menjalankan pemeriksaan bahawa api di kawasan kebakaran sudah terkawal dan padam.

  • oleh
  • Advertisement