Anda di sini

Tapak Pesta Benak bakal berwajah baru dengan projek naik taraf Tebingan Sri Aman

Advertisement
Abang Johari mengendalikan jengkaut sebagai simbolik majlis pecah tanah Tebingan Sri Aman yang merupakan tapak Pesta Benak, hari ini. Turut kelihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan, (kanan) dan ADUN Lingga Simoi Peri. - Gambar UKAS

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini membawa berita gembira kepada penduduk di Sri Aman selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek naik taraf Tebingan Sri Aman yang merupakan tapak Pesta Benak.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abang Johari terdahulu mengadakan lawatan kerja ke tapak projek naik taraf ruang niaga Pasar Tamu Sri Aman bagi fasa pertama yang diumumkan olehnya pada 11 Ogos 2018 melibatkan peruntukan RM5 juta.

Fasa pertama projek naik taraf ruang niaga Pasar Tamu Sri Aman, melibatkan pembinaan 72 unit ruang niaga terbuka, 24 gerai, sebuah tandas awam serta tempat letak kereta dengan kerja-kerja pembinaan sudah bermula Januari tahun lalu dan dijangka siap Julai tahun ini.

Projek berkenaan dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA).

Abang Johari bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri (dua kanan) dan Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Sri Rohani Karim (kanan) dan ADUN Simanggang Datuk Francis Harden melihat model Pasar Tamu Sri Aman yang dinaik taraf. - Gambar UKAS
Abang Johari bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri (dua kanan) dan Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Sri Rohani Karim (kanan) dan ADUN Simanggang Datuk Francis Harden melihat model Pasar Tamu Sri Aman yang dinaik taraf. - Gambar UKAS

Sementara itu kerja-kerja pembinaan bagi tapak Pesta Benak, Tebingan Sri Aman yang bernilai RM12 juta telah bermula 23 April 2019 dan dijangka siap pada 22 Oktober tahun ini.

Projek berkenaan merangkumi kerja-kerja menaik taraf dermaga untuk esplanad, ruang terbuka di sepanjang sungai, tempat letak kereta, arca, menara pemerhati, pusat budaya dilengkapi 12 gerai makanan, dua ruang runcit, pavilion mini dan junjung (pergola).

Pusat budaya berkenaan juga dilengkapi geleri dan bilik persidangan serta tandas awam.

Kerja-kerja menaik taraf tebingan Sri Aman itu juga merangkumi kerja menaik taraf tokong Buddha sedia ada dan tanda awam di situ.

Malam ini Abang Johari dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Dewan Suarah Sri Aman.

Advertisement