Anda di sini

Sainz menangi perlumbaan Dakar Rally buat kali ketiga

Advertisement
 Sainz (tengah) meraikan kemenangannya bersama naib juara, Nasser Al-Attiyah (kanan) dan pemenang tempat ketiga, Stephane Peterhansel dari Perancis pada perlumbaan Dakar Rally di Arab Saudi. — Gambar AFP
VETERAN BERPENGALAMAN: Sainz (tengah) meraikan kemenangannya bersama naib juara, Nasser Al-Attiyah (kanan) dan pemenang tempat ketiga, Stephane Peterhansel dari Perancis pada perlumbaan Dakar Rally di Arab Saudi. — Gambar AFP

QIDDIYA: Pemandu veteran dari Sepanyol Carlos Sainz memenangi perlumbaan kereta Dakar Rally buat kali ketiga pada Jumaat apabila dia menamatkan cabaran dengan margin kemenangan yang selesa dalam penganjuran pertama bagi acara tersebut di Arab Saudi.

Pelumba berusia 57 tahun itu melintasi garisan pada peringkat ke-12 dan terakhir 6 minit 21 saat di depan pencabar terdekat yang juga juara bertahan Nasser al-Attiyah dari Qatar, yang berjaya mengurangkan kelebihan Sainz kepada hanya 24 saat sahaja pada Selasa lepas tetapi ketinggalan lagi ekoran kesilapan navigasi.

“Saya rasa sangat gembira. Terdapat banyak usaha di sebalik kejayaan ini. Banyak latihan,” kata Sainz dalam laman sesawang acara perlumbaan itu.

“Ia merupakan perlumbaan habis-habisan sejak awal lagi. Ia adalah hebat sekali, kali pertama di Arab Saudi, sudah tentulah kita dapat meningkatkan prestasi selalu tetapi ia adalah usaha yang hebat sekali,” tambahnya.

Ditanya mengenai usaha untuk mempertahankan kejuaraannya pada tahun depan, Sainz berkata: “Ia terlalu awal untuk memikirkannya, biarlah saya menikmati ini dahulu.”

Sainz, bapa kepada pemandu F1 Carlos Sainz Jr, menguasai perlumbaan dari peringkat ketiga dengan keretanya X-raid Mini.

Dia kini sudah memenangi Dakar Rally bersama tiga buah pembuat kereta yang berlainan, setelah kemenangannya pada masa lalu bersama Volkswagen pada 2010 dan Peugeot pada 2018.

Stephane Peterhansel menduduki tempat ketiga 9 minit 58 saat di belakang dalam kereta Mini.

Pemandu Perancis itu dan Sainz memenangi empat peringkat dalam perlumbaan maraton selama 12 hari sejauh 7,800 kilometer itu.

Ricky Brabec menang dalam bahagian motosikal untuk Honda, seterusnya menjadi penunggang pertama dari Amerika Syarikat untuk memenangi perlumbaan yang meletihkan itu.

Juara Formula Satu (F1) sebanyak dua kali Fernando Alonso menduduki tempat ke-13 dalam penampilan sulungnya di Dakar Rally, hampir lima jam di belakang pemenang.

Alonso menduduki tempat kedua dalam satu peringkat tetapi penyertaan pertamanya dalam Dakar Rally ternyata menyakitkan apabila kereta yang dipandu oleh warga Sepanyol berusia 38 tahun itu terbalik dua kali pada peringkat ke-10 selepas ia melanggar bukit pasir di satu sudut janggal.  

“Saya sangat bangga kerana berada di sini, ia adalah rali paling sukar di dunia, untuk menamatkannya pada cubaan pertama tidaklah mudah tetapi saya mempunyai pasukan terbaik di sekeliling saya,” kata Alonso.

“Pada akhirnya kami ternyata lebih kompetitif berbanding apa yang kami fikirkan pada mulanya, jadi itu adalah satu bonus,” tambahnya.

Alonso berkata dia mahu mengikuti jejak Graham Hill dengan melengkapkan satu pencapaian yang bersejarah dalam sukan permotoran ekoran kemenangan dalam F1 dan perlumbaan ketahanan 24 jam Le Mans.

“Saya perlu memenangi perlumbaan Indy 500, itulah keutamaan terbesar, tiga mahkota. Seluruh fokus saya kepada perlumbaan itu sekarang.”

Perlumbaan dicemari kematian penunggang Portugis Paulo Goncalves sewaktu peringkat ketujuh pada Ahad lepas.

Keputusan untuk menganjurkan perlumbaan itu di Arab Saudi pada tahun ini, dan sekurang-kurangnya bagi tempoh empat tahun seterusnya, menimbulkan kemarahan pengkritik rekod hak asasi manusia di negara tersebut. — AFP

Advertisement