Anda di sini

Projek ROSE atasi rasa takut dan malu wanita jalani ujian pap smear 

Advertisement
Nurul Izzah melawat kaunter ujian saringan kesihatan dan kanser serviks anjuran Yayasan ROSE di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak hari ini.
Nurul Izzah melawat kaunter ujian saringan kesihatan dan kanser serviks anjuran Yayasan ROSE di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak hari ini.

KUCHING: Rata-rata wanita takut dan malu untuk menjalani pemeriksaan pap smear bagi mengesan kanser serviks atau pangkal rahim. 

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata statistik menunjukkan bawah 13 peratus wanita menjalani pemeriksaan pap smear. 

Sehubungan itu beliau menjemput lebih banyak badan kerajaan dan swasta untuk menyokong Projek ROSE (Removing Obstacles to Servical Screening). 

“Projek ROSE membantu wanita menjalani ujian saringan kanser serviks dengan melakukan pensampelan sendiri menggunakan kit ujian. 

“Kaedah baharu ini adalah yang pertama diguna pakai oleh ROSE dan ia lebih mudah, tidak sakit serta bersifat privasi untuk wanita,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ujian saringan kanser serviks secara percuma kepada wanita kumpulan B40 di Kompleks Belia dan Sukan di sini hari ini. 

Program tersebut merupakan anjuran Yayasan ROSE dengan kerjasama Etiqa Insurans & Takaful dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri. 

Sementara itu, Penaung Projek ROSE, Viji Nair yang juga Pengarah Eksekutif Yayasan ROSE berkata tahap kesedaran masyarakat terutama wanita mengenai kanser serviks masih rendah. 

Ini adalah disebabkan kurangnya pengetahuan mengenai kanser ini serta takut dan malu untuk menjalani pemeriksaan pap smear. 

“Dengan teknologi baharu yang digunapakai ROSE ini, wanita tidak perlu malu untuk jalani ujian ini kerana mereka boleh melakukannya sendiri. 

“Sampel ujian katanya akan dihantar ke makmal untuk ujian dan keputusan akan dimaklumkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam masa tiga minggu. 

“Jika keputusan ujian positif, kita akan mengsyorkan rawatan susulan yang perlu diambil untuk merawat kanser serviks ini,” katanya. 

Dalam pada itu sejak dimulakan pada Julai tahun lepas, seramai 2,300 wanita telah melalui ujian saringan kanser serviks percuma ROSE ini. 

Program ROSE ini juga pernah dianjurkan di Miri sebelum ini sebelum diperluaskan ke Kuching dan di lain-lain tempat di negeri ini pada masa akan datang. 

Hadir sama, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How. 
 

  • oleh
  • Advertisement