Anda di sini

Piala Perancis: Marseille tundukkan Granville 3-0

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Piala Perancis di antara Granville dan Marseille di Stadium Michel-d’Ornano di Caen. — Gambar AFP
BERTEMBUNG DI UDARA: Antara babak-babak aksi perlawanan Piala Perancis di antara Granville dan Marseille di Stadium Michel-d’Ornano di Caen. — Gambar AFP

PARIS: Marseille menjaringkan tiga gol dalam masa 15 minit terakhir untuk mengatasi kelab divisyen keempat Granville 3-0 pada peringkat 32 terakhir Piala Perancis pada Jumaat.

Alvaro Gonzalez, Nemanja Radonjic dan Dimitri Payet melakukan jaringan untuk Marseille selepas Granville terpaksa bermain dengan 10 orang setelah William Sea dibuang dari padang.

Marseille sudah memenangi Piala Perancis sebanyak 10 kali – di tempat kedua hanya di belakang Paris Saint-Germain (PSG) (12) – tetapi tidak pernah menjulang trofi itu sejak 1989.

Mereka disingkirkan dari pertandingan itu pada pusingan 64 kelab pada musim lepas oleh kelab divisyen keempat Andrezieux, dan berjaya mengelak dengan tipis kejutan yang sama pada awal bulan ini apabila mereka menewaskan Trelissac dalam penentuan tendangan penalti.

Pau, yang bermain dalam divisyen ketiga, menyingkirkan kelab Ligue 1 Bordeaux pada Khamis lepas dengan kemenangan 3-2 selepas masa tambahan.

Rennes menentang kelab divisyen kelima Athletico Marseille pada malam ini (Ahad) manakala PSG bermain di kelab Ligue 2 Lorient.

JS Saint-Pierroise dari Pulau Reunion di Lautan Hindi kini berharap untuk mencipta sejarah dalam Piala Perancis pada hujung minggu ini.

Mereka boleh menjadi pasukan pertama dari sebuah wilayah Perancis di seberang laut untuk mara ke peringkat 16 terakhir jika mereka dapat menewaskan Epinal semalam. — AFP

Advertisement