Anda di sini

Mayat bayi dijumpai dalam longkang di Bandar Baru Samariang

Advertisement
 


KUCHING: Penduduk di Bandar Baru Samariang digemparkan dengan penemuan mayat bayi perempuan dalam longkang di kawasan itu petang hari ini. 

Difahamkan, mayat bayi itu dijumpai orang awam sekitar jam kira-kira 6 petang hari ini dalam longkang di Bandar Baru Samariang. 

Penemuan mayat bayi perempuan itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong Soon Kuai. 

Polis memeriksa mayat bayi yang dijumpai dalam longkang.
Polis memeriksa mayat bayi yang dijumpai dalam longkang.

Suspek berusia 19 tahun yang merupakan ibu bayi berkenaan juga telah ditahan, yang kini masih dirawat Hospital Umum Sarawak (HUS), katanya.

Menurut sumber, wanita terbabit datang sendiri ke HUS kerana mengalami pendarahan namun menafikan melahirkan bayi. 

Ekoran penemuan itu, mayat bayi berkenaan dibawa ke HUS untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

KEMAS KINI

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani memberitahu, polis telah menerima laporan berkaitan kes menyembunyikan kelahiran dari doktor HUS sekitar jam 11.02 pagi hari ini. 

"Laporan dibuat kerana pengadu mengsyaki seorang pesakit perempuan yang diperiksa telah melahirkan anak berdasarkan pesakit mengalami pendarahan dan tanda-tanda serta kesan melahirkan anak. 

"Bagaimanapun pesakit tersebut enggan memberitahu apa-apa tentang kelahiran tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dedahnya lagi, perempuan terbabit dari Bandar Baru Samariang masih menerima rawatan di HUS.

"Hasil dari soal siasat terhadap pesakit telah membawa kepada penemuan mayat bayi tidak jauh dari kediaman pesakit berkenaan. 

"Mayat bayi telah dibawa ke HUS untuk tindakan lanjut," jelas Awang Din. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun keseksaan dan masih dalam siasatan.

  • oleh
  • Advertisement