Anda di sini

Masyarakat awam dan TDM harus berganding bahu menjaga kedaulatan negara

Advertisement
 Ahmad Hasbullah merasmikan sambutan Hari Tentera Darat ke-87 peringkat negeri Sabah.
RASMI: Ahmad Hasbullah merasmikan sambutan Hari Tentera Darat ke-87 peringkat negeri Sabah.

TAWAU: Masyarakat awam diminta untuk bersama-sama menjaga kedaulatan dan keselamatan negara daripada ancaman anasir-anasir yang boleh menganggu gugat kestabilan serta keharmonian negara.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, keselamatan negara juga perlu dijaga oleh semua rakyat dan bukannya hanya terletak di bahu pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) dan anggota keselamatan sahaja.

"Kita faham anggota tentera merupakan jentera rakyat dalam memainkan peranan untuk mempertahankan dan menjaga kedaulatan negara serta rakyat jelatah tetapi ianya tidak akan sempurna sekiranya tiada kerjasama daripada semua masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian sempena  sambutan Hari Tentera Darat ke-87 peringkat negeri Sabah dan Majlis Pelancaran Konvoi Kumpulan Tempur Tentera Darat, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, objektif sambutan ini supaya anggota tentera dapat turun padang mendekati masyarakat dan memberi peluang kepada orang awam melihat sendiri aset-aset yang dimiliki oleh TDM.

"Kita ingin memberitahu kepada semua rakyat bahawa apa yang dibelanjakan untuk keperluan tentera darat sebenarnya membuahkan hasil kerana kesemuanya digunakan sepenuhnya demi kepentingan mempertahankan negara yang kita cintai," katanya.

Ditanya mengenai perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan, beliau berkata perpindahan itu harus dilihat secara positif dan ianya sememangnya sudah dirancang lama oleh pihak negara itu.

"Jika dilihat, impak daripada perpindahan itu lebih banyak melibatkan kepada sektor ekonomi dan sudah tentu juga akan melibatkan elemen-elemen keselamatan negara," katanya.

Tambahnya, pihak kerajaan sudah tentu bijak dalam menangani dan menilai situasi yang sebenarnya sekiranya berlakunya perpindahan itu kelak.

"Pihak ketenteraan hanya boleh memberikan pandangan dari aspek keselamatan sahaja dan sekiranya pihak kerajaan menerima pandangan tersebut, kita bersedia menerima arahan daripada pihak kerajaan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

 

  • oleh
  • Advertisement