Anda di sini

Kuching FA buru penyerang Brazil

Advertisement
__alt__

KUCHING: Setelah gagal mengikat penyerang berprofil tinggi, Francis Forkey Doe sebelum ini fokus skuad Kuching FA kini menghala ke arah penyerang dari Brazil, Leo Alves.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Iswandi Ali Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata penyerang berusia 30 tahun itu dijangka tiba di Kuching esok (Isnin).

Menurut Iswandi, pengurusan Kuching FA secara tidak rasmi bersetuju untuk menandatangani kontrak Leo dengan syarat pemain itu bebas daripada sebarang masalah.

“Kita hampir pasti akan mengikat Leo jika beliau tidak ada masalah dokumentasi dan lulus pemeriksaan kesihatan.

“Beliau pemain cukup berpengalaman dan khidmatnya diyakini dapat membantu Kuching FA mengharungi saingan Liga Premier 2020 ini,” kata Penolong Pengurus Kuching FA itu ketika dihubungi di sini semalam.

Leo atau nama penuhnya Leonardo Passos Alves merupakan penyerang kelahiran Jacobina, Brazil yang banyak beraksi dalam liga di Asia Barat seperti Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain.

Kelab terakhir disertainya adalah Al Safa FC yang bersaing dalam Liga Arab Saudi.

Selain Leo, seorang lagi pemain import juga dijangka tiba pada minggu hadapan untuk cuba merebut slot kouta pemain import ialah Fredy Lobe Mbang.

Iswandi memberitahu, pemain pertahanan dari Cameroon itu juga berkemungkinan akan menyarung jersi Kuching FA jika dapat menambat hati pengurusan pada sesi latihan penilaian nanti.

Kelab terakhir disertai Fredy adalah Green Archers United yang bersaing dalam Liga Bola Sepak Filipina.

Pemain tinggi lampai itu terkenal dengan corak permainan agresif dalam mematahkan serangan lawan mendapat jolokan ‘The Cleaner’.

Setakat ini, Kuching FA telah mengikat dua pemain import iaitu Yuta Suzuki dan Akira Higashiyama yang kedua-duanya dari Jepun sebagai persediaan menghadapi sepak mula Liga Premier 2020 pada 29 Februari depan.

  • oleh
  • Advertisement