Anda di sini

Kimanis BN punya, isyarat suara keramat rakyat

Advertisement
 Mohamad mengangkat tangan ketika diisytiharkan menang dalam PRK Kimanis.
WAKIL RAKYAT: Mohamad mengangkat tangan ketika diisytiharkan menang dalam PRK Kimanis.

Personaliti bukan penyebab, tapi isu sejagat jadi pertimbangan pemilih


BONGAWAN: Ada sebuah kampung kecil di Bongawan. Namanya Tanjung Piai, bersebelahan Kampung Biau. Letaknya di pinggiran laut. Menghadap Laut China Selatan. Sebahagian penduduknya nelayan. Sebahagian lagi lain pekerjaan.

Tempat ini dikunjungi seorang menteri 4 Januari lalu. Kebetulan menteri itu asalnya dari Tanjung Piai. Bukan Tanjung Piai, Bongawan. Tapi asal Tanjung Piai, Johor, iaitu titik paling akhir penghujung benua Asia.

Tanjung Piai, Bongawan dalam Parlimen Kimanis. Tanjung Piai, Johor pula sendirinya diangkat sebagai nama kawasan Parlimen. Satu kebetulan, kedua-duanya baru selesai mengharungi pilihan raya kecil. Berselang sekitar dua bulan.

Suratan takdir menentukan keputusan pilihan raya kecil (PRK) Kimanis seiras PRK Tanjung Piai. Berpihak kepada pembangkang. Parti kerajaan tumbang. Barisan Nasional (BN) diangkat sebagai juara. Membawa mesej terang-benderang. Bahawa suara rakyat sukar dihalang. Cukup jelas isyaratnya.

Persoalan minggu lepas, Kimanis siapa punya, sudah terjawab. Kimanis BN punya. Kimanis sudah bersuara. Suaranya ringkas, tegas dan pedas. Biarpun mungkin tidak semanis tembikai Kimanis untuk ditelan. Itulah suara keramat rakyat.

"Gelombang sudah sampai. Tembok Kimanis tidak dapat bertahan," seorang sahabat wartawan menghantar WhatsApp dua jam selepas keputusan PRK Kimanis diumumkan secara rasmi pada malam kelmarin.

Sungguh ada kebenaran kata-kata sahabat itu. Gelombang biru dari Tanjung Piai, Johor, tidak terbendung membadai ke Kimanis. Gagah merentasi Laut China Selatan.

Namun, keputusan PRK Kimanis bukanlah tsunami politik. Sekadar satu gelombang kebangkitan suara rakyat yang tidak mudah dipujuk lagi. Gula-gula manis ditolak orang Kimanis. Maka terciptalah satu kejutan baharu.

Dilihat penampilan BN dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebermula kempen, kedua-dua pasukan sama hebatnya. Sehinggakan semua orang bercakap tentang peluang 50-50. Kata mereka, jika kemenangan berpihak di mana pun, majoritinya tipis sahaja.

 

Namun, pada pecutan saat-saat akhir, WARISAN dilihat mendahului lawan. Program dan ceramah mendapat sambutan luar biasa. Maka, keyakinan pun meningkat. Malah ada kumpulan membuat kaji selidik bebas meletakkan WARISAN pada kedudukan selesa untuk menakluki Kimanis daripada kekuasaan BN.

Tapi hakikatnya tidak demikian. Bagaikan asam kandis buah pulasan dijual banyak di tamu mingguan, di dalam manis, di luar asam. Begitulah mungkin resam politik orang Kimanis. Bajunya putih, hatinya biru. Satu kebarangkalian. Satu kemungkinan. Post-mortem akan merungkainya dari tangkai perjuangan hakiki.

Kedua-dua calon BN Datuk Mohamad Alamin dan calon WARISAN Datuk Karim Bujang dikenali orang Kimanis. Mereka berdua anak jati kelahiran tempat ini. Punya keluarga besar dan disegani. Maka, soal personaliti bukan faktor penyebab.

Penganalisis politik berpendapat keputusan mengejutkan dengan peningkatan mendadak lebih 2,000 majoriti itu, berkait rapat dengan isu sejagat kempen, sentimen rakyat serta geopolitik dan permasalahan setempat. Ini realiti, bukan virtual.

Berdasarkan isu kempen, hal paling hangat diperkatakan adalah Pas Sementara Sabah (PSS). Ia menjadi modal politik pembangkang. Rempuhan arus PSS menolak soal agenda pembangunan ke tebing sungai perjuangan. Dalam setiap ceramah pembangkang, ia menghangatkan ucapan pendebat-pendebat politik, sedang kerajaan terus berusaha memberi penjelasan tuntas dan terperinci namun gagal meyakinkan. Akhirnya parti kerajaan tersungkur layu di perbatasan waktu.

Sentimen rakyat terhadap keupayaan kerajaan merealisasikan janji manifesto PRU-14 juga diungkit semula. Seperti soal harga barang dan pendidikan, mengatasi harga diri. Isu domestik seperti jalan rosak, jambatan gantung daif dan sewaktu dengannya seperti duri dalam daging. Sakit hati pengundi bertambah, demam politik memanas jadinya. Lalu mereka protes menerusi kertas undi.

Geopolitik juga satu faktor yang mungkin menjadi penyebab kejutan keputusan PRK Kimanis. Selama bertahun BN-UMNO bertapak di bumi Kimanis, selama itulah ia berakar tunjang berpasak bumi. Ia telah berdiri bagai pohon merimbun tempat berpayung warganya.

 Karim mengangkat tangan ketika mengundi pada PRK Kimanis pagi kelmarin.
UNDI: Karim mengangkat tangan ketika mengundi pada PRK Kimanis pagi kelmarin.

Pasca PRU-14, ramai yang berhijrah dari parti asal ke parti baharu, termasuk di peringkat kampung dan cawangan. Namun, apakah ia satu penghijrahan suci demi satu perjuangan? Tanpa dusta dan selingkuh politik?

Isu nasional seperti 1MDB dan kapal mewah Jho Low nampaknya kurang menarik perhatian di Kimanis, kerana mungkin ia jauh dari hati mereka. Yang lebih dekat melekat di hati mereka adalah kapal layar parti WARISAN.

Mengulas mengenai kekalahan WARISAN di Kimanis, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ia ia berlaku kerana pengundi di kawasan itu belum merasai kebaikan pemerintahan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH).

Ditemui di Alor Setar bagi mengulas hal itu sejurus keputusan diketahui, beliau berkata PH akan melakukan post-mortem bagi menentukan sebab kekalahan dan mengetahui punca rakyat Sabah kecewa dengan pemerintahan ketika ini.

Pada masa sama, katanya, terdapat masalah pada kerajaan dalam menyampaikan perancangan yang sudah dilakukan, termasuk bagi menceritakan kembali kejayaan yang sudah dicapai kepada rakyat.

“Itu pendapat orang Sabah, mereka belum rasa kebaikan daripada pemerintahan baharu kerana segala yang kita lakukan perlu mengambil masa. Seperti kita buat dasar pertanian baharu. Kita tidak boleh buat hari ini dan dapat hasil esok.

“Namun saya yakin lama-kelamaan, rakyat Sabah akan sedar mereka akan mendapat pemerintahan lebih baik di bawah WARISAN,” kata Tun M, sambil menegaskan usaha mendampingi dan mengambil tahu masalah rakyat perlu dilakukan lebih kerap, termasuk membantu mengatasi masalah berkenaan.

Dalam PRK Kimanis, Mohamad memperoleh 12,706 undi berbanding Karim 10,677 undi, merekod 2,029 majoriti berbanding 156 majoriti pada PRU-14.

Dilihat analisis keputusan mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM), nyata benar sentimen pengundi di semua tempat berbahagi dua. Tidak ada satu pun yang mencatat kemenangan mutlak seratus peratus di satu pihak.

Hakikatnya, orang Kimanis bukan memilih calon. Mereka memilih parti. Kini pilihan sudah dibuat, menjadi tanggungjawab bagi kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang menggalas tanggungjawab masing-masing.

Kerajaan perlu mendengar mesej denyutan nadi orang Kimanis. Begitu juga Mohamad dan pembangkang, harus menggalas amanah rakyat dengan sebaiknya -- ketengahkan suara dan harapan mereka. Kedua-dua pihak sudah berjanji sepanjang kempen. Jangan sekadar 'janji tarang bulan', tapi tunaikan janji manis itu demi untuk orang Kimanis.

  • oleh
  • Advertisement