Anda di sini

Iklan dan papan tanda berkaitan cukai perkadaran perlu dipamerkan di tempat awam

Advertisement
 Jaujan (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain ketika menyempurnakan gimik perasmian.
RASMI: Jaujan (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain ketika menyempurnakan gimik perasmian.

SANDAKAN: Iklan atau papan tanda berkaitan cukai perkadaran perlu diletakkan di setiap kawasan awam bagi mengingatkan kepada semua pihak agar tidak lupa melaksanakan tanggungjawab.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, tidak dinafikan masyarakat sentiasa lupa membayar cukai seperti tanah, premis perniagaan, industri dan sebagainya.

"Bukan orang kita tidak mahu bayar tetapi mereka lupa disebabkan urusan harian yang sibuk, sekiranya tertunggak sehingga setahun, maka besarlah jumlah mereka perlu bayar.

"Oleh itu, iklan atau papan tanda ini adalah sebagai satu peringatan kepada mereka agar melaksanakan tanggungjawab," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pesta Pengampunan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bersama Pembayar Cukai, di sini hari ini.

Beliau berkata, program yang diadakan oleh MPS itu adalah sesuatu perkara baik dan harus dilakukan di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Sabah.

Katanya, kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai cukai berkenaan adalah tinggi tetapi mereka lupa menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan masalah tunggakkan di beberapa PBT negeri ini.

"Saya menghargai program diadakan di sini dan saya dimaklumkan hasil cukai tertunggak yang berjaya dikutip sepanjang program ini diadakan adalah berjumlah hampir RM3 juta.

"Ini satu pencapaian yang baik dan masyarakat juga menerima baik kaedah seumpamanya, tawaran diskaun juga diberikan serta boleh dibayar melalui bank.

"Orang ramai perlu ingat, duit yang diperolehi ini akan dipulangkan semula kepada masyarakat dalam bentuk perkhidmatan, ianya tidak disimpan di MPS atau bank," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, duit yang dikumpul itu akan digunakan untuk membaiki jalan raya, lampu jalan, membersihkan parit, pasar awam dan sebagainya.

Beliau juga mengingatkan PBT perlu memberikan perkhidmatan yang seimbang dengan hasil kutipan yang diperolehi itu.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan George Hiew, Presiden MPS Wong Foo Tin serta tetamu kehormat yang lain.


 

  • oleh
  • Advertisement