Anda di sini

Ibadah umrah untuk pekerja cemerlang MBRKK

Advertisement
 Staf MBRKK merakam gambar kenangan selepas majlis itu.
ALBUM: Staf MBRKK merakam gambar kenangan selepas majlis itu.

KOTA KINABALU: Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBRKK) mulai tahun ini akan menganugerahkan ibadah umrah ke tanah suci Mekah dan Madinah kepada mana-mana pekerja cemerlang di institusi berkenaan.

Pengerusi MBRKK Datuk Haji Jamal Tun Haji Sakaran berkata, pihak Pengurusan Tertinggi masjid membuat keputusan membiayai kos ibadah itu sebagai usaha menghargai jasa dan komitmen berterusan para pekerja tanpa mengira waktu dan suasana.

MBRKK mempunyai 78 pekerja yang meliputi dari pengurusan pentadbiran, imam, bilal, tenaga mengajar, staf unit pelancongan, pekerja sokongan unit pembersihan dan pengawal keselamatan.

"Pemilihan akan dilaksanakan secara bergilir gilir mengikut spesifikasi dan kriteria yang akan ditetapkan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis silaturahim antara pihak Pengurusan Tertinggi masjid dengan anggota perkhidmatan di MBRKK.

Jamal berkata pembayaran bonus kedua kepada pekerja akan dilaksanakan sebelum Hari Raya Aidilfitri 1441 Hijrah ini.

Katanya pihak masjid juga telah meluluskan pakej pinjaman pembelian komputer kepada guru-guru madrasah. Ia bagi memastikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21.

Sehubungan itu, beliau menasihati para pekerja agar menghayati agenda perjuangan membina dan memantapkan institusi masjid sebagai amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Katanya perlu disedari konsep sememangnya penting jadi orang baik, tetapi lebih penting jadi orang yang berbuat baik kepada yang memerlukan.

"Ini meliputi matlamat berdakwah dengan memerlukan perubahan untuk disesuaikan terhadap keadaan semasa," katanya.

Beliau berharap kesemua pekerja supaya sentiasa menyemai semangat dedikasi dan semangat sedia berkorban masa dan tenaga untuk mengimarahkan masjid.


 

Advertisement