Anda di sini

‘Chicharito’ sertai LA Galaxy

Advertisement
CHICHARITO
CHICHARITO

LOS ANGELES: Kelab Los Angeles Galaxy telah menandatangani penyerang Mexico Javier ‘Chicharito’ Hernandez dari Sevilla dan akan menjadikannya pemain dengan pendapatan tertinggi dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS), majalah Sports Illustrated melaporkan pada Jumaat.

Galaxy dijangka akan menaruh harapan kepada Chicharito, yang merupakan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman bagi Mexico, untuk mengisi kekosongan penjaring dan kuasa bintang yang ditinggalkan oleh Zlatan Ibrahimovic, bintang Sweden yang telah kembali ke AC Milan pada Disember lepas.

Sports Illustrated memetik sumber yang tidak dinamakan untuk melaporkan perjanjian itu sudah dimeterai, dan Hernandez akan mengambil alih sebagai pemain dengan pendapatan tertinggi dalam liga daripada bintang Toronto FC, Michael Bradley, yang dilaporkan menerima gaji sebanyak AS$6 juta (RM24 juta) setahun.

Hernandez, salah seorang pemain Mexico paling popular dari generasinya, sudah lama dikaitkan dengan perpindahan ke MLS dan dia akan tiba di Amerika Syarikat selepas dia menyertai Sevilla pada September lalu dari West Ham.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang meninggalkan kelab Chivas Guadalajara untuk menyertai Manchester United pada 2010, juga pernah bermain untuk Real Madrid dan Bayer Leverkusen selama dia tinggal di Eropah.

Di Los Angeles, dia akan bermain menentang rakan senegara Carlos Vela – penyerang bintang untuk Los Angeles FC.

Ditanya pada minggu ini pendapatnya mengenai perpindahan yang berpotensi bagi Hernandez ke Selatan California, Vela berkata rakan senegaranya itu pasti akan menjadi aset bagi Galaxy.

“Dia adalah jentera jaringan,” kata Vela. “Dia sentiasa di sana untuk mencari peluang menjaringkan gol, tetapi dia juga menjalankan tugas yang amat baik untuk bertahan bagi pasukannya.

“Saya rasa ia amat penting jika mereka mendapatnya, kerana dia seorang pemain yang bagus, dan saya rasa dia boleh menjadi pemain yang bagus bagi semua orang jika ia berlaku.”

Namun itu bukan bermakna Vela sudah mengaku kalah dalam pertarungan untuk LA.

“Saya sudah memberitahunya, jika dia datang ke sini, dia akan kalah dan jika dia menjaringkan satu gol, saya akan menjaringkan lebih satu gol lagi daripadanya,” kata Vela kepada Univision pada Khamis lepas. — AFP

Advertisement