Anda di sini

AKSEM Perlis rampas 11 kotak ubat batuk bernilai RM11,000

Advertisement
 Anggota Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Perlis sedang melakukan pemeriksaan terhadap ubat batuk yang dirampas pada sidang media di Kem AKSEM Kuala Perlis dekat Kuala Perlis, semalam. — Gambar Bernama
TUMPAS: Anggota Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Perlis sedang melakukan pemeriksaan terhadap ubat batuk yang dirampas pada sidang media di Kem AKSEM Kuala Perlis dekat Kuala Perlis, semalam. — Gambar Bernama

KUALA PERLIS: Agensi Kawalan Sempadan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis merampas 1,100 botol ubat batuk jenis ‘Dynadryl Syrup’ dianggarkan bernilai RM11,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Permatang Keriang, Simpang Empat dekat sini, kelmarin (17 Jan).

Komander AKSEM Perlis DSP Rodzi Abu Hassan berkata dalam serbuan jam 6.05 petang itu, seorang suspek lelaki sedang leka memunggah kotak berisi ubat batuk yang setiap botol mengandungi 100ml ubat batuk ke dalam sebuah lori di kediaman suspek.

“AKSEM menjumpai sebanyak 11 kotak berisi ubat batuk tanpa permit yang sah dan menahan seorang suspek warga tempatan berumur 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Rodzi berkata, hasil siasatan awal mendapati bahawa suspek menerima upah untuk menghantar ubat batuk kepada pengusaha air ketum dan kafe di sekitar Simpang Empat.

“Hasil rampasan termasuk sebuah lori bernilai RM40,000 diserahkan kepada Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 9(1), Akta Racun 1952,” katanya. — Bernama

Advertisement