Anda di sini

10,000 meriahkan majlis pelancaran Konvoi Kumpulan Tempur dan HTD kali ke-87

Advertisement
 Ahmah Hasbullah bergambar kenangan bersama pemimpin dan masyarakat Tawau.
KENANGAN: Ahmah Hasbullah bergambar kenangan bersama pemimpin dan masyarakat Tawau.

TAWAU: Hampir 10,000 hadir memeriahkan majlis pelancaran Konvoi Kumpulan Tempur dan sambutan Hari Tentera Darat (HTD) kali ke-87 peringkat negeri Sabah yang diadakan seawal jam 7 pagi hingga 5 petang, di sini hari ini.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmah Hasbullah Mohd Nawawi berkata, acara ini merupakan acara pertama dilaksanakan sebelum menjelangnya sambutan HTD yang akan diraikan pada 1 Mac setiap tahun semenjak penubuhannya pada tahun 1933.

"Konvoi itu dilaksanakan bertujuan mempamerkan pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) di Sabah melalui jelajah 'battle group' kepada semua bandar utama di Sabah bermula hari ini (semalam) di Tawau dan akan berakhir di Kota Kinabalu pada 29 Febuari akan datang.

"Selain itu, ianya bertujuan mengukuhkan komitmen TDM terhadap pertahanan dan kepentingan keselamatan negeri ini serta meningkatkan interaksi antara rakyat dan warga TDM," katanya semasa merasmikan majlis itu.

Menurutnya, komposisi Konvoi Kumpulan Tempur TDM terdiri daripada 29 buah kenderaan tempur dan kenderaan logistik melibatkan aset yang berada di negeri Sabah.

"Antara kenderaan yang terlibat termasuklah kenderaan perisai GEMPITA dan LIPAN BARA serta kenderaan tempur seperti pembawa senjata, pembawa meriam, 'Command Rover' dan motosikal 'Scrambler'.

"Turut melibatkan juga kenderaan bantuan logistik seperti trak 3 tan, ambulans medan dan kenderaan bantuan pembaikan dan kembalik," katanya.

Mengulas lanjut, pelbagai aktivti menarik diadakan untuk penduduk Tawau dan sekitarnya semasa pelancaran itu termasuklah senamrobik, pertunjukan payung terjun, pameran aset ketenteraan, pengambilan perajurit muda serta pertujukan 'war dance', 'drumliner' dan pancaragam TDM.

Beliau berkata, HTD tahun ini memilih negeri Sabah sebagai lokasi utama dengan tema 'Tentera Darat Bersama Rakyat Sedia Sebilang Masa' dan sambutan ini banyak memberikan penglibatan tentera bersama rakyat serta pemimpin-pemimpin tertinggi negeri Sabah.

"Objektif penganjuran HTD kali ini mengutamakan fokus TDM kepada kepentingan keselamatan strategik negeri Sabah serta mengukuhkan kedudukan, kepentingan keselamatan bersama agensi awam dan rakyat.

Turut hadir dalam majlis itu, Ahli Parlimen Kalabakan Ma'mun Sulaiman, ADUN Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat, ADUN Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Amrullah Kamal, Timbalan Panglima TD Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Timur TD Lt Jen Datuk Zamrose Mohd Zain dan Timbalan Presiden MPT Koh Kian Leong.

 Persembahan payung terjun yang paling ditunggu oleh orang ramai dalam HTD kali ini.
PAYUNG TERJUN: Persembahan payung terjun yang paling ditunggu oleh orang ramai dalam HTD kali ini.
  • oleh
  • Advertisement