Anda di sini

Young uji nasib di Serie A Itali bersama Inter Milan

Advertisement
YOUNG
YOUNG

MILAN: Pemain pertahanan Manchester United (MU) Ashley Young sudah menyetujui perpindahan ke kelab Serie A, Inter Milan, menurut laporan pada Khamis.

Pemain berusia 34 tahun itu tiba di Itali semalam untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dia menandatangani kontrak selama 18 bulan, akhbar Gazzetta Dello Sport melaporkan.

MU akan menerima 1.5 juta euro (RM7.2 juta) campur bonus bagi Young yang sudah berada di Old Trafford selama lapan setengah musim lalu sejak dia tiba dari Aston Villa pada 2011.

Young, yang sudah bermain sebanyak 39 kali untuk England, telah membuat 261 penampilan untuk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dan menjaringkan 19 gol.

Dia menjadi kapten kelab pada musim ini tetapi memulakan hanya 10 perlawanan liga sahaja.

Dia memenangi kejuaraan EPL pada 2013, Piala FA pada 2016 serta Piala Liga dan Liga Europa pada 2017.

Young meninggalkan EPL ketika MU menduduki tempat kelima, 27 mata di belakang pendahulu Liverpool, yang akan mereka tentang di Anfield esok (Ahad).

Inter menandatangani Romelu Lukaku dari MU pada musim panas lalu dan juga ada Alexis Sanchez sebagai pemain pinjaman dari kelab tersebut.

Pasukan Antonio Conte menduduki tempat kedua dalam Serie A, dua mata di belakang juara Juventus. — AFP

Advertisement