Anda di sini

Lebih sejuta permohonan diterima untuk e-Tunai Rakyat

Advertisement
 Lim menunjukkan aplikasi yang merupakan penyedia perkhidmatan bayaran dalam talian e-dompet, Touch 'n Go, Boost dan Grab.
Lim menunjukkan aplikasi yang merupakan penyedia perkhidmatan bayaran dalam talian e-dompet, Touch 'n Go, Boost dan Grab.

KUCHING: Program e-Tunai Rakyat yang baharu dilancarkan pada 15 Januari lalu sudah mencapai lebih sejuta permohonan yang diterima dari seluruh Malaysia. 

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan, daripada jumlah pemohon itu, setakat ini kira-kira 800,000 permohonan telah diluluskan dengan peruntukan RM24 juta telah dikreditkan dalam e-dompet penerima.

Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan RM450 juta bagi melaksanakan inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan sasaran 15 juta hingga 16 juta pengguna di negara ini.

"Kita mahu semua rakyat di Malaysia menggunakan pembayaran dalam talian tanpa tunai. Dengan ini kita dapat memperkasakan masyarakat kita ke arah gaya hidup yang lebih mudah dan moden selain lebih telus serta efisien," katanya pada sidang media selepas mempromosi Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat kepada warga Kuching di pusat beli belah The Spring, di sini malam Jumaat. 

Tambah Lim, program itu menawarkan bantuan untuk semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, dengan pendapatan kurang RM100,000 setahun layak mendapat insentif RM30 seorang tersebut. 

Jelas beliau, permohonan untuk mendapatkan bantuan itu dibuka sehingga 9 Mac tahun ini dan pengguna perlu menggunakan e-Tunai yang dikreditkan dalam tempoh dua bulan iaitu sehingga 14 Mac tahun ini. 

Mengenai kemungkinan akan berlakunya kesulitan untuk memohon bantuan itu dari kalangan rakyat di pedalaman di negeri ini berikutan akses internet terhad, Lim berkata, sebab itu beliau datang ke Sarawak kerana mahu mempromosikan program itu di sini. 

"Jika perlu bantuan, carilah wakil rakyat kita kerana mereka amat rela untuk bantu daftarkan bagi mendapatkan bantuan ini. Yang penting mesti ada telefon pintar dan internet untuk menggunakan perkhidmatan itu," jelasnya. 

Menurutnya lagi, bagi masa depan, kerajaan merancang melaksanakan projek digitalisasi Jaringan Fiber Jalur Lebar Kebangsaan yang menelan kos RM21.6 bilion dijangka siap dalam tempoh lima tahun, juga meliputi kawasan luar bandar di Sarawak.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia terutamanya di Sarawak dan Sabah memanfaatkan program e-Tunai Rakyat itu sebaik-baiknya dengan mendaftar segera bagi mendapatkan bantuan tersebut. 

Mengenai kebimbangan rakyat tentang keselamatan data peribadi mereka yang diperlukan untuk menebus RM30 dalam program e-Tunai Rakyat itu, Lim menjelaskan ia disimpan secara sulit oleh agensi pelaksana, Khazanah Nasional Berhad. 

Jelas beliau, agensi itu adalah sebuah syarikat pelaburan dana kekayaan yang dimiliki oleh kerajaan dan semua data diperolehi adalah sama seperti yang dimiliki oleh kerajaan.

“Kalau kerajaan mahukan data peribadi rakyat Malaysia, ia sudah ada di dalam kad pengenalan yang mana lebih terperinci. 

“Ia (data peribadi) bernilai kepada syarakat swasta yang terlibat dalam perniagaan dan perdagangan tapi sekiranya ia dimiliki oleh kerajaan, kita bukan dalam perniagaan, tentu kita tidak akan gunakannya untuk manfaat sedemikian,” katanya. 

Sehubungan itu, Lim menasihat orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tomahan tidak berasas pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

"Semua individu yang telah mendaftar itu, mereka tahu ia dikendalikan oleh kerajaan dan kerana itu mereka yakin untuk mendaftar dan menikmati insentif berkenaan," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kerajaan menerusi Khazanah Nasional Bhd memilih tiga penyedia perkhidmatan bayaran dalam talian berasaskan dompet elektronik atau e-dompet, Touch 'n Go, Boost dan Grab untuk menyertai program itu.

Inisiatif ini diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lalu yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.

Hadir sama Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, wakil-wakil rakyat dan tetamu kehormat lain. 

  • oleh
  • Advertisement