Anda di sini

Konsul Tawau ‘terkejut’ insiden terbaharu di perairan Tambisan

Advertisement
DJATI
DJATI

KOTA KINABALU: Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau Sulistidjo Djati Ismojo mengakui terkejut dengan insiden terbaharu yang menimpa lapan warganya di perairan Tambisan, Tungku, Lahad Datu.

Kesemua nelayan itu disyaki diculik ketika keluar menangkap ikan antara jam 9 hingga 10 malam, Khamis, namun, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali mengesahkan tiga daripada mereka terselamat.

Manakala, status lima lagi nelayan kapal pukat tunda yang berdaftar di Sandakan terbabit, belum diketahui dan ESSCom masih menyoal-siasat ketiga-tiga nelayan yang ‘bebas’.

Mengulas kes itu, Djati berkata pihaknya terkejut kerana kes baharu itu berlaku ketika Kerajaan Indonesia masih menunggu penyerahan bekas tawanan kumpulan penculik, Muhammad Farhan Mahruddin, 27, daripada Kerajaan Filipina.

“Farhan masih di Filipina dan belum diserahkan kepada Jakarta, kita juga difahamkan kes terbaharu itu berlaku di lokasi sama dengan insiden culik pada 23 September tahun lepas.

“Buat masa ini, kita belum menerima pemberitahuan rasmi daripada ESSCom dan mungkin esok ada pegawai KRI Tawau dihantar ke Lahad Datu,” katanya.

 Menurutnya, KRI Tawau kini dalam peringkat pengumpulan maklumat berhubung insiden yang berlaku dan akan menyediakan laporan kes itu untuk Kerajaan Indonesia di Jakarta.

Difahamkan, sebuah kapal pukat tunda ‘kosong tanpa pengendali’ yang berdaftar di Sandakan ditemui nelayan tempatan Tambisan kira-kira jam 12.34 tengahari, Jumaat.

Semua juragan dan kru nelayan yang menaiki kapal terbabit dilaporkan hilang, namun ESSCom kemudiannya mengesahkan tiga terselamat dan lima lagi dikhuatiri diculik.

 Dalam kes berasingan, lokasi kejadian itu dikatakan berlaku berhampiran tempat tiga bekas tebusan iaitu Farhan, Maharudin Lunani, 48, dan Samiun Maneu, 27, diculik.

Berdasarkan kenyataan Djati sebelum ini, Maharudin dan Samiun yang ditemui dan diselamatkan tentera Filipina pada 22 Disember lepas, sudah diserahkan kepada Jakarta.

Farhan yang diselamatkan menerusi operasi ketenteraan di Wilayah Selatan Filipina awal minggu ini pula, berada di Filipina dan belum diserahkan kepada Kerajaan Indonesia.

  • oleh
  • Advertisement