Anda di sini

Kjaer tegaskan tiada masalah peribadi dengan Ibrahimovic

Advertisement
IBRAHIMOVIC
IBRAHIMOVIC

MILAN: Pemain pertahanan Denmark Simon Kjaer pada Khamis menegaskan dia dan rakan baharunya dalam pasukan AC Milan Zlatan Ibrahimovic tidak bermusuh walaupun pemain Sweden itu pernah mencengkam lehernya dalam satu perlawanan tiga tahun lalu.

Pemain pertahanan tengah berusia 30 tahun itu menyertai kelab bermasalah dalam Serie A itu sebagai pemain pinjaman selama enam bulan dari kelab di Sepanyol, Sevilla, dengan pilihan untuk membelinya, manakala Ibrahimovic juga direkrut oleh kelab itu pada bulan ini.

“Saya menentangnya banyak kali dalam karier saya,” kata Kjaer di satu sidang akhbar.

“Kami ada beberapa pertarungan di atas padang tetapi masalah tiada di antara kami sekarang, kami bekerja ke arah matlamat yang sama.”

Bekas pemain Fenerbahce itu mengecam Ibrahimovic sebagai ‘bongkak’ selepas pemain Sweden itu mencengkam kerongkongnya dalam satu perlawanan peringkat kumpulan Liga Europa di mana Manchester United tewas 2-1 pada November 2016.

“Kehadirannya di sini merupakan satu dorongan tambahan bagi semua, dia seorang juara yang hebat dan kariernya membuktikan itu,” tambah kapten Denmark itu.

“Ia menyeronokkan bagi semua orang untuk memilikinya dalam pasukan kami.”

Kjaer telah dipinjamkan kepada kelab Serie A Atalanta sejak September lalu tetapi bermain hanya enam kali sahaja untuk pasukan Bergamo itu.

Dia juga pernah bermain untuk dua kelab di Itali, Palermo dan Roma.

“AC Milan selama ini merupakan satu impian bagi saya, apabila peluang itu tiba, saya merampasnya,” tambahnya.

Milan, juara Eropah sebanyak tujuh kali, menduduki tempat ke-10 dalam carta Serie A, 10 mata di bawah tempat kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Kjaer sudah menjadi kapten Denmark sejak 2016, dan menjaringkan tiga gol dalam 95 penampilan. — AFP

Advertisement