Anda di sini

Hafizh Syahrin teroka bidang fesyen pula

Advertisement
 Hafizh Syahrin (kiri) bersalaman dengan Pengarah Primavalet, Dr Arshad Beg Mirzaja selepas menandatangani perjanjian selaku duta jenama fesyen itu bagi tahun 2020 pada majlis menandatangani perjanjian di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
CEBURI BIDANG BAHARU: Hafizh Syahrin (kiri) bersalaman dengan Pengarah Primavalet, Dr Arshad Beg Mirzaja selepas menandatangani perjanjian selaku duta jenama fesyen itu bagi tahun 2020 pada majlis menandatangani perjanjian di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto 2 negara Hafizh Syahrin Abdullah yang tidak pernah kenal erti putus asa, kali ini memilih bidang fesyen sebagai satu lagi bidang baharu untuk diterokai.

Pelumba berusia 25 tahun itu memeterai perjanjian dengan pemain industri fesyen terkenal, Primavalet, selaku duta jenama bagi tahun 2020.

Dengan perjanjian itu, Hafizh Syahrin merupakan atlet pertama serta pelumba motosikal pertama negara dipilih sebagai duta Primavalet.

Untuk tempoh itu, Hafizh Syahrin diberikan kesempatan untuk mereka sendiri fesyen busana yang akan dipasarkan di bawah jenama Primavalet.

“Saya cuba buat satu lagi benda baharu dalam hidup saya. Saya berkolaborasi dengan Primavalet keluarkan baju harian dan juga Hari Raya kerana Malaysia juga terkenal dengan industri fesyen. Ini permulaan untuk industri ini dan saya akan belajar. Ini juga satu daripada cara yang boleh bantu saya uruskan diri demi masa depan.

“Primavalet telah berikan saya satu semangat untuk teruskan 2020 ini. Saya berbesar hati jadi duta Primavalet,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Hafizh Syahrin berkata beliau sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi menaja beliau biarpun penajaan itu datang di pertengahan musim perlumbaan 2020.

“Saya boleh katakan segala-galanya kini masih dalam perbincangan. Sekarang saya hanya menunggu (maklum balas). Mungkin jika saya beraksi dengan baik, pada pertengahan musim akan ada penaja yang tampil untuk menaja saya.

"Sebab itu saya masih terbuka menerima mana-mana syarikat yang berminat untuk menaja saya," katanya yang akan beraksi dengan Aspar Team dalam kelas Moto 2 musim  ini yang akan membuka tirai pada 8 Mac di Qatar.

Menurut Hafizh Syahrin, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak hadir sebagai penaja utama sebaliknya melalui tajaan sokongan yang boleh meringankan bebannya.

“Kehadiran KBS sedikit sebanyak membantu saya seperti dapat menggunakan kemudahan di ISN dan menjalani latihan di Eropah. Pendek kata KBS membantu saya untuk teruskan saingan pada musim ini,” katanya.

Primavalet sebelum ini memilih barisan personaliti dalam kalangan artis tempatan sebagai duta seperti Amyra Rosli, Amar Baharin, Aqeef Anaqi, Alif Satar, Ustaz Azhar Idrus, Janna Nick, Atikah Suhaimie dan Fikry Ibrahim tahun lepas.

Sementara itu, Pengarah Urusan Primavalet Dr Arshad Beg berkata pemilihan Hafizh Syahrin adalah bersesuaian kerana beliau merupakan ikon anak muda pada masa kini.

Katanya, Hafizh Syahrin bukan sahaja sebagai pelumba pertama negara di kelas MotoGP tapi juga mempunyai kriteria yang mampu memberi inspirasi kepada anak muda supaya lebih berjiwa besar.

“Hafizh Syahrin adalah satu ikon yang penting kepada Primavalet. Disiplin yang ada pada beliau yang menceburi bukan sahaja lumba motor, tapi juga berbasikal, lumba kereta, bermain futsal menjadikannya sebagai ikon kepada anak-anak muda yang mahu jadi seperti beliau,” katanya. — Bernama

Advertisement