Anda di sini

FAM tidak berkompromi

Advertisement
HAMIDIN
HAMIDIN

JOHOR BAHRU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sentiasa memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal menyelesaikan isu berhubung tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawai.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tempoh yang diberikan kepada mereka yang terlibat mencukupi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan termasuk dari aspek perundangan.

“Kita tidak boleh memotong atau menyingkirkan mana-mana pasukan tanpa mengikut SOP yang dibenarkan. Ini pematuhan daripada  Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Apabila pelesenan kelab memberi lesen kepada setiap pasukan pada musim 2020 mengikut prosedur FAM dan pelesenan kelab yang sama dengan AFC dan FIFA, perlu mengikut pembayaran gaji sehingga 30 Jun depan atau enam bulan ke bawah (tempoh rayuan selepas tarikh akhir 30 Mac),” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Pelesenan Kelab FAM (FIB) ada kuasa selepas bermulanya saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan jika ada pasukan yang masih belum membayar gaji pada bulan Julai atau Ogos, tindakan boleh dikenakan ke atas pasukan terbabit.

Hamidin berkata SOP yang dimaksudkan juga membolehkan FAM mahupun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah serta tidak menyelesaikan masalah dalam tempoh masa ditetapkan.

"Saya ambil contoh Melaka United (MU) membayar gaji sehingga lesen diberikan dan dijangka akan selesai sehingga 30 Jun ini dan saya difahamkan tunggakan gaji hampir selesai. Bagaimanapun, pihak sekretariat FAM dan MFL akan melihat dokumen rasmi dan bukan sekadar cakap-cakap daripada pihak MU.

"Pihak FIB adalah badan bebas dan antara kelab yang diberi amaran seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), MU dan  Kelantan,  jika masih gagal melaksanakan tunggakan gaji pemotongan mata akan bermula serta merta dengan pemotongan tiga mata dan kemudian enam mata seterusnya jika masih gagal membayar maka disingkirkan .

"Saya berjanji jika ada pasukan yang masih berdegil maka mereka akan dikeluarkan daripada saingan Liga-M. Itu janji saya. Sebagai badan pentadbir bola sepak kita mesti perlu adil kepada semua pihak iaitu kepada pemain, kelab dan juga peminat bola sepak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan peminat bola sepak kononnya FAM dan MFL tidak tegas dalam tindakan mereka ke atas pasukan berhubung masalah tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawai.

Terdahulu, dalam satu kenyataan hari ini, FAM telah memberi amaran terakhir kepada tiga pasukan iaitu MU, PDRM dan Kelantan, yang berkemungkinan berdepan hukuman pemotongan tiga mata sekiranya gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing pada 31 Jan ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM. Stuart Ramalingam, tambahan enam mata lagi akan dipotong sekiranya mana-mana tiga pasukan berkenaan gagal melunaskan tunggakan gaji sehingga tarikh akhir kedua yang ditetapkan iaitu pada 28 Feb ini.

Beliau turut menegaskan tindakan penyingkiran daripada Liga-M dilakukan ke atas ketiga-tiga pasukan berkenaan sekiranya mereka masih gagal menjelaskan tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir ketiga iaitu pada 30 Mac ini. — Bernama

Advertisement