Anda di sini

Dua doktor bertugas di Hospital Sibu tidak diperbaharui kontrak perkhidmatan tanpa penjelasan Kementerian Kesihatan.

Advertisement
Dr Bong Ing Hui (kiri), Dr Wong Woan Hui.
Dr Bong Ing Hui (kiri), Dr Wong Woan Hui.

SIBU: Dua doktor muda yang berkhidmat di Hospital Sibu merupakan antara empat pegawai perubatan (MO) yang tidak ditawarkan kontrak baharu dan tidak diperakui untuk lantikan tetap oleh kerajaan.

Dr Wong Woan Hui dan Dr Bong Ing Hui telah menerima surat penamatan kontrak tanpa alasan diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada November 2019.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong Wong Ching Yong menyifatkan perkara ini sebagai keputusan yang mengejutkan dan terlalu tidak adil kepada mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di pejabat SUPP Sibu pagi ini dengan surat terbuka kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

"Biro Pendidikan SUPP akan menyampaikan petisyen dalam laman web www.change.org dan berharap sekurang-kurangnya 100,000 tandatangan untuk petisyen ini," jelasnya.

Wong memberitahu Biro Pendidikan SUPP menggesa orang ramai terutamanya House Officers (HO), MO dan ibu bapa mereka untuk menandatangani petisyen ini demi keadilan dan meningkatkan kesedaran orang ramai.

Menurutnya pegawai perubatan yang turut mengalami nasib yang sama dan ditamatkan kontrak tidak perlu berasa malu untuk menghantar emel kepada mereka di alamat [email protected]

"Sila nyatakan nama penuh, jawatan dan hospital tempat kerja dengan nombor telefon bimbit dan alamat emel anda. Ini akan memudahkan kita untuk mengetahui jumlah sebenar pegawai perubatan yang tidak ditawarkan kontrak baharu," ujarnya.

Sementara itu, Dr Wong, doktor di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) untuk dua tahun serta lulus kertas bahagian 1 Member of Royal College of Obstetrics and Gynaecology (MRCOG) pada Febuari 2018 manakala Dr Bong, doktor di Jabatan Pediatrik selama dua tahun dan setahun sebagai HO juga telah lulus kertas bahagian 1 Member of Royal College Peadiatric Child Health (MRCPCH) pada tahun 2018.

Wong memberitahu kedua-dua mereka telah menerima surat dari Kementerian Kesihatan memaklumkan kontrak mereka tidak akan diperbaharui.

"Ini benar-benar mengejutkan dan sangat tidak adil kepada mereka kerana walaupun mereka sebagai pegawai perubatan, mereka menerima gaji dalam gred UD41 selama dua tahun kerana mereka adalah MO pada kontrak dan bukan kakitangan tetap.

"Beban kerja sebagai pegawai perubatan kontrak dengan UD41 adalah sama dengan rakan sekerja dalam skim Lantikan Tetap UD44," ujarnya.

Menurutnya mereka yang ditamatkan kontrak juga tidak boleh menduduki bahagian akhir dalam bidang kepakaran O&G dan Pediatrik sebab tidak dapat bekerja di hospital yang diluluskan dalam tempoh tidak kurang dari empat tahun.

"KKM telah memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak mereka dan tiada sebab diberikan dalam surat penamatan kontrak," jelasnya.

Wong berkata semua pegawai perubatan yang ingin menjadi pakar mempunyai jangkaan yang sah bahawa Kementerian Kesihatan akan membolehkan mereka bekerja di hospital kerajaan untuk tempoh tujuh tahun seperti di United Kingdom supaya mereka dapat menjalani latihan yang diperlukan.

"Keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui kontrak kepada pegawai perubatan yang melakukan kajian pasca siswazah adalah tidak adil. 

"Dalam surat Hospital Sibu bertarikh 21 November 2019 menyatakan memerlukan lebih ramai tenaga kepakaran, mengapa Kementerian Kesihatan masih teruskan keputusan menamatkan kontrak mereka?

"Mereka dimaklumkan bahawa penamatan kontrak mereka adalah kes pertama di negara ini dimana kontrak pegawai perubatan tidak diperbaharui. Penamatan kontrak tanpa alasan munasabah ini mesti diberhentikan dengan serta merta," tegasnya.

Oleh itu, mereka turut menuntut agar Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam sama ada melanjutkan kontrak pegawai perubatan untuk tempoh tujuh tahun atau melantik mereka jawatan tetap supaya pegawai perubatan ini boleh dilatih menjadi pakar dalam keadaan kekurangan tenaga pakar di Malaysia.

Wong berkata Biro Pendidikan SUPP meminta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad untuk menjawab soalan berikut:

"Biro Pendidikan SUPP dimaklumkan bahawa hanya 25 peratus daripada pegawai perubatan dan doktor pergigian akan mendapat jawatan tetap. Kami menuntut Kementerian Kesihatan untuk mendedahkan secara terbuka kriteria pelantikan tetap kepada pegawai perubatan dan pergigian.

"Sejak Dr. Dzulkefly mengambil alih jawatan pada Mei 2018, beberapa dasar kontrovesi berlaku termasuk pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

"Pindaan Akta Racun 1952 ditarik balik dengan penjara menunggu pengamal perubatan yang menolak permintaan preskripsi pesakit. Pindaan ini ditangguhkan selepas mendapat bantahan dari doktor perubatan dan doktor gigi," katanya.

Begitu juga dengan pemberhentian secara tiba-tiba untuk MO, Biro Pendidikan SUPP ingin mengetahui sama ada Menteri Kesihatan telah disarankan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenai isu-isu yang menjejaskan kebajikan para doktor perubatan, doktor pergigian dan ahli farmasi.

"Adakah Ketua Pengarah KKM melakukan penyelidikan dahulu sebelum memberi nasihat kepada menteri?

"Kami dimaklumkan bahawa apabila sampai ke pengesahan jawatan tetap Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian, keutamaan diberikan kepada Semenanjung Malaysia, misalnya di Hospital Klang seramai 73 pegawai perubatan diberikan jawatan yang disahkan.

"Tidak ada maklumat mengenai pengesahan jawatan tetap di Sarawak," soalnya

Hadir sama ialah Pengerusi Biro Pendidikan SUPP Datuk Ding Kuong Hiing , Penasihat SUPP Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sibu Dr Albert Yong, penasihat Persatuan Graduan Taiwan Sarawak (STGA) Dr Hu Chang Lek, ahli MMA Cawangan Sibu Dr Wong Chya Wei dan peguam Victor Lau.

  • oleh
  • Advertisement