Anda di sini

Conte bertandang ke bekas kelab lama

Advertisement
 Barisan kesebelasan utama Inter Milan pada Serie A Itali, 11 Januari lalu. — Gambar AFP
SEDIA: Barisan kesebelasan utama Inter Milan pada Serie A Itali, 11 Januari lalu. — Gambar AFP

MILAN: Inter Milan bimbingan Antonio Conte bertandang ke kelab lamanya di selatan negara, Lecce, esok (Ahad) untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu Serie A Juventus, yang melayan kunjungan Parma, manakala momentum perebutan kejuaraan antara tiga pasukan semakin kuat dengan Lazio berada tidak jauh di belakang dua pasukan di depan.

Inter ketinggalan dua mata di belakang juara bertahan sebanyak lapan kali itu selepas diikat oleh Atalanta pada hujung minggu lepas dan perlawanan menentang Lecce memberi peluang kepada Conte, 50 tahun, untuk membawa pulang tiga mata.

Kelab kerdil dari bahagian bawah di Itali itu berada satu mata di atas zon relegasi, selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut, dengan dibolosi 38 gol pada musim ini.

Penyerang Inter, Lautaro Martinez, yang sudah menjaringkan 15 gol pada keseluruhannya pada musim ini, memuji Conte kerana memupuk cita-cita tinggi dalam kelab yang kali terakhir memenangi Serie A pada 2010.

“Banyak perkara sudah berubah,” kata Martinez kepada TyC Sports.

“Dia memiliki cara yang istimewa untuk melakukan sesuatu dan sudah mengajar kami begitu banyak perkara dari hari pertamanya sebagai pengendali.

“Dia telah meyakinkan semua kami untuk memberikan yang terbaik dan keputusan ada di sana untuk semua lihat.”

Inter memulakan musim mereka di stadium sendiri di San Siro dengan kemenangan 4-0 ke atas kelab bandar asal Conte, Lecce, di mana dia memulakan karier bola sepaknya.

Jaringan pertama bekas penyerang MU Romelu Lukaku dalam Serie A dibuat ketika menentang Lecce, dan dia sudah menjaringkan 18 gol dalam semua pertandingan pada musim ini, termasuk dua jaringan pada minggu ini dalam kemenangan 4-1 ke atas Cagliari dalam Piala Itali.

Juventus bimbingan Maurizio Sarri berdepan dengan perlawanan yang berpotensi rumit menentang Parma di tempat ketujuh, yang mahu kembali ke bola sepak Eropah.

Cristiano Ronaldo tidak bermain dalam kemenangan mereka ke atas Udinese dalam Piala Itali pada pertengahan minggu kerana sinusitis (resdung), tetapi Paulo Dybala menjaringkan dua gol apabila dia menerajui serangan bersama seorang lagi pemain dari Argentina Gonzalo Higuain, yang turut menemui sasaran.

Lazio menduduki tempat ketiga – enam mata di belakang Juventus – tetapi dengan kelebihan baki satu perlawanan lagi dan menyasari kemenangan ke-11 berturut-turut dalam liga dalam perlawanan menentang Sampdoria.

Sampdoria bimbingan Claudio Ranieri menewaskan Brescia 5-1 pada hujung minggu lepas tetapi tidak pernah menang ke atas kelab Rom itu dalam tempoh 15 tahun.

Atalanta di tempat keempat, yang terikat mata dengan Roma, menerima kunjungan kelab tercorot SPAL ekoran kekalahan mereka kepada Fiorentina dalam Piala Itali.

Roma mengalami dua kekalahan berturut-turut, kepada Torino dan Juventus, dan amat memerlukan dorongan dalam perlawanan menentang Genoa sebelum mereka menentang musuh tetangga Lazio di  Stadio Olimpico.

Napoli, di tempat ke-11, melayan kunjungan kelab di tempat ke-14, Fiorentina, ekoran kekalahan mereka dalam dua perlawanan terakhir. — AFP

Advertisement