Anda di sini

Barca taruh kepercayaan pada Setien untuk urus kelab

Advertisement
 Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu (kiri) bersama pengarah bola sepak, Eric Abidal (kanan) memberikan ‘pose’ bersama Setien sambil memegang jersi semasa majlis pengenalan di Barcelona. — Gambar AFP
SELAMAT BERTUGAS: Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu (kiri) bersama pengarah bola sepak, Eric Abidal (kanan) memberikan ‘pose’ bersama Setien sambil memegang jersi semasa majlis pengenalan di Barcelona. — Gambar AFP

MADRID: Pelantikan Quique Setien, murid Johan Cruyff yang setia, oleh Barcelona dibuat sehari selepas Zinedine Zidane memenangi final kesembilannya daripada sembilan perlawanan akhir selaku jurulatih Real Madrid.

Dengan kedua-dua pasukan terikat mata di tempat teratas La Liga, perebutan kejuaraan paling sengit di Sepanyol sejak sekian lama bukan sahaja mengenai mata yang dimenangi dan terlepas tetapi juga peraduan identiti dan kepercayaan.

Real Madrid, kelab yang mentakrif diri dengan kemenangan, berbanding Barcelona, di mana kemenangan dilihat sebagai hasil daripada sesuatu yang lebih mendalam, stail yang dimulakan oleh Cruyff sehingga ia menjadi falsafah bola sepak mereka.

Atletico Madrid dan Sevilla, kedua-duanya lima mata di belakang, masih memberikan cabaran tetapi bermain kejar-mengejar.

Setien pernah menyatakan dia sanggup memberi jari kecilnya untuk bermain di bawah Cruyff. Sekarang, 34 tahun kemudian, dia ada peluang untuk menghidupkan ideal tersebut selepas dua tahun di bawah Ernesto Valverde apabila pragmatisme lebih menentukan rentak permainan.

Jurulatih baharu Barca tidak begitu terkenal di luar Sepanyol dan, pada usia 61 tahun, dia mungkin berada di zaman senja dalam kariernya.

“Bagi saya, ini adalah kemuncaknya,” katanya ketika dia diperkenalkan pada Selasa lepas.

Kelab-kelabnya sebelum ini tidak begitu menonjol. Ia termasuk Lugo, Logrones, Las Palmas, Poli Ejido, Racing Santander, Real Betis dan menyelia satu perlawanan bagi Equatorial Guinea.

Senarai trofinya bermula dan berakhir dengan satu Piala Super Sepanyol pada 1985 bersama Atletico Madrid.

Namun kerja dan kata-katanya setakat ini boleh meninggalkan gambaran seseorang yang telah membuat persiapan untuk membimbing Barcelona sepanjang hayatnya.

“Ketika saya seorang pemain, jurulatih cuba menetapkan garis panduan bagi saya,” kata Setien, bekas pemain antarabangsa Sepanyol, kepada akhbar Marca pada 2018.

“Tetapi di atas padang, saya cuba meluahkan diri dan saya mula memahami bagaimana perkara benar-benar berfungsi hanya apabila saya melihat permainan Johan Cruyff bersama Barcelona.”

“Memiliki bola menjadikan anda seorang pemain bola sepak, bukan berlari mengejarnya,” katanya pada tahun lepas.

Ia masih belum diketahui bagaimana pelantikan Setien akan menjejaskan perebutan kejuaraan La Liga. Adakah para pemain Real Madrid merasakan bahawa peluang mereka semakin cerah atau terjejas ekoran pemecatan Valverde?

Mereka sekarang menentang sebuah pasukan dengan seorang jurulatih yang tidak pernah memenangi, atau malah bersaing untuk, trofi liga utama.

Namun mereka juga mungkin rasa was-was, mengenai kemungkinan bahawa Barcelona dapat melaksanakan kepercayaan Setien mengenai serangan dan memecut ke depan.

Namun, sementara Barca merenungkan identiti dan stail mereka, Madrid mungkin rasa selesa dengan kesederhanaan DNA mereka sendiri.

Kejayaan merupakan perkara yang amat diperlukan oleh kelab itu. Tidak seperti Setien, Zidane merancang taktiknya di sekitar para pemainnya, bukan sebaliknya.

Selepas menjulang Piala Super Sepanyol mereka yang ke-11 pada Ahad lepas, Zidane diminta menjelaskan bagaimana dia telah memenangi kesemua sembilan perlawanan akhir sebagai jurulatih.

“Itulah kelab ini, kami sentiasa mahu menang,” katanya.

“Pertama sekali, kami ada pasukan yang bagus dan kemudian anda perlu percaya. Kami sudah melakukan itu.”

Zidane telah menunjukkan selama empat tahun dia berada di Madrid bahawa kebebasan daripada mesej yang rumit, apabila digabung dengan motivasi dan usaha gigih, sudah memadai untuk memacu sesebuah pasukan untuk mencapai kejayaan.

“Apabila anda bekerja bersama para pemain yang berbakat dan berpengalaman, perkara paling penting adalah untuk memastikan mereka sentiasa tenang,” kata Zidane pada 2018, ketika merenungkan rekodnya yang luar biasa dalam Liga Juara-Juara.

“Itulah apa yang saya perlukan ketika saya seorang pemain, jadi itulah pendekatan yang saya cuba guna pakai sebagai jurulatih.”

Kunci kepada bagaimana Piala Super Sepanyol dan ketibaan Setien mungkin akan menjejaskan hala tujuh perebutan kejuaraan dijangka lebih jelas pada hujung minggu ini.

Real Madrid, yang didorong oleh kejayaan mereka di Arab Saudi, bermain di tempat sendiri menentang Sevilla pada malam ini (Sabtu) manakala perlawanan pertama Setien akan berlangsung esok (Ahad), juga di stadium sendiri, menentang Granada.

Sevilla dijangka akan memberikan ujian yang lebih getir, walaupun satu kemenangan daripada empat perlawanan terakhir mereka dalam liga membayangkan mereka mungkin bertarung untuk tempat keempat pada Mei dan bukan tempat pertama.  

Pasukan Julen Lopetegui terikat mata dengan Atletico Madrid, yang dijangka lebih yakin untuk menyertai semula persaingan selepas persembahan yang mengagumkan di Jeddah menyaksikan mereka menewaskan Barcelona sebelum mereka tewas kepada Real Madrid dalam penentuan tendangan penalti. — AFP

Advertisement