Anda di sini

B. Sathianathan mahu pemain pamerkan persembahan terbaik

Advertisement
 Pemain tengah Selangor, Mohammad Safuan Baharudin (tengah) ketika sesi latihan bagi persiapan menghadapi Kejohanan Asia Cup Challenge 2020 di Padang SUK Shah Alam. — Gambar Bernama
SESI LATIHAN: Pemain tengah Selangor, Mohammad Safuan Baharudin (tengah) ketika sesi latihan bagi persiapan menghadapi Kejohanan Asia Cup Challenge 2020 di Padang SUK Shah Alam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Ketua Jurulatih Selangor, B. Sathianathan mahu pemain muda dan pemain baharu menunjukkan persembahan terbaik dalam Kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020 untuk menentang kelab dari rantau Asia Tenggara pada hari ini dan Ahad ini.

Sathianathan berkata kejohanan itu merupakan peluang yang baik  bagi menguji pemain dan memberikan mereka keyakinan yang tinggi untuk memulakan kempen Liga Malaysia pada musim ini.

"Sememangnya ia satu kejohanan yang bagus, ia akan memberi peluang kepada penyokong untuk melihat pemain baharu beraksi, tetapi ini adalah pramusim jadi keputusan tidak penting yang menjadi tujuan utama kami adalah persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain."

Turut hadir pada sidang media itu, Jurulatih Hanoi FC, Chu Dinh Nghiem dan Jurulatih True Bangkok United FC, Alexandre Polking.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam bermula 5 petang hingga 11 malam itu melibatkan penyertaan tiga pasukan negara jiran iaitu True Bangkok United FC dari Thailand, Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

Setiap pasukan akan bermain dua perlawanan dan pasukan yang mempunyai rekod terbaik daripada setiap perlawanan akan dinobatkan sebagai juara.

Sistem pengiraan mata dan jumlah gol bakal diambil kira seperti kejohanan Piala Emirates di Eropah.

Sebagai ganjaran, juara akan membawa pulang wang tunai US$10,000 (RM41,353.81) selain piala pusingan sementara naib juara menerima US$5,000 (RM20,676.91). — Bernama

Advertisement