Anda di sini

Spike Lee cipta sejarah, bakal ketuai barisan juri Cannes pada Mei ini

Advertisement
SPIKE LEE
SPIKE LEE

PENGARAH Amerika Spike Lee dilantik untuk menjadi presiden juri Festival Filem Cannes pada tahun ini Selasa lepas, seterusnya menjadi ketua panel pertama yang berkulit hitam.

Pembuat filem ‘Malcolm X’ dan ‘Do the Right Thing’ merupakan orang pertama berketurunan Afrika hitam yang mengetuai festival filem terbesar di dunia, yang diadakan pada Mei di French Riviera.

Lee, 62, berkata dia “terkejut, gembira, terkejut dan bangga dalam masa yang sama” untuk mencipta sejarah.

Veteran Cannes itu sudah mengadakan tayangan perdana bagi tujuh buah filemnya di festival itu, dengan filem sulungnya ‘She’s Gotta Have It’ mencetuskan sensasi pada 1986 ketika ia memenangi hadiah remaja di Directors’ Fortnight.

Pelantikannya dibuat ketika aktivis mengkritik Anugerah Oscar pada Isnin lepas kerana tidak mempedulikan pelakon dan pengarah berkulit gelap, tanpa sebarang pencalonan untuk lakonan terpuji Awkwafina dalam dramai China-Amerika ‘The Farewell’ dan Lupita Nyong’o dalam filem seram ‘Us’.

Lee – yang menunjukkan filem terakhirnya ‘BlacKkKlansman’ di Cannes dua tahun lalu – berkata “keberkatan terbesar saya … telah berlaku entah dari mana.

“Saya berbesar hati untuk menjadi orang pertama dari diaspora Afrika (AS) yang dilantik untuk menjadi presiden juri Cannes dan sebuah festival filem utama.”

Lee juga akan menerima anugerah Palme d’Or, anugerah utama di festival itu, bagi pencapaian sepanjang hayat.

Dalam satu kenyataan bertulis dari rumahnya di ‘Da People’s Republic Of Brooklyn, New York’, Lee berkata Cannes telah merubah kehidupannya.

“Bagi saya festival filem Cannes (selain menjadi festival filem paling penting di dunia – bukannya saya tidak menghormati sesiapa) telah memberi impak yang amat besar dalam karier filem saya.

“Anda boleh dengan mudah katakan Cannes telah mengubah trajektori siapa saya dalam dunia perfileman dunia”, tambahnya.

TIDAK ADA KEPELBAGAIAN

 Filem ‘Parasite’ sejak menang anugerah Palme d’Or tahun lepas telah menjadi amat popular dan mendapat enam pencalonan Oscar baru-baru ini.
SEMAKIN POPULAR: Filem ‘Parasite’ sejak menang anugerah Palme d’Or tahun lepas telah menjadi amat popular dan mendapat enam pencalonan Oscar baru-baru ini.

Lee juga mengucapkan terima kasih kepada “bangsa Perancis yang hebat dan telah menyokong karier filem saya selama empat dekad. Saya akan sentiasa menghargai hubungan istimewa ini”.

Hanya seorang warga Asia sahaja, pengarah dari Hong Kong, Wong Kar-wai, pernah mengetuai juri Cannes dalam sejarahnya selama 73 tahun.

Aktres Perancis Isabelle Adjani, anak kepada seorang lelaki Algeria, menjadi orang pertama yang berketurunan Afrika untuk mengetuai juri pada 1997.

Festival filem utama di dunia berdepan dengan kritikan pedas kerana tiada kepelbagaian sejak beberapa tahun lalu.

Cannes dan pesaingnya Venice berdepan dengan pemerhatian yang semakin meningkat, khususnya kerana tidak ada pengarah wanita dlam pertandingan utama mereka, walaupun mereka telah memilih juri dengan jantina seimbang.

Lebih 90 orang aktres dan pembuat filem wanita yang diketuai presiden juri ketika itu Cate Blanchett melancarkan protes permaidani merah di Cannes untuk menuntut kesamarataan dalam industri filem pada 2018.

Lee lantang dalam sokongannya kepada kaum wanita ketika itu.

“Perspektif Spike Lee lebih bernilai berbanding selama ini,” kata pengarah festival Thierry Fremaux.

“Cannes merupakan tanah air semula jadi dan tempat pelancaran global bagi mereka yang membangunkan minda dan mempersoalkan pendirian dan idea tetap kita.

“Personaliti Lee yang ranggi pasti akan menggegarkan keadaan,” tambahnya.

Pada tahun lepas juri diketuai pengarah ‘Babel’ dan ‘The Revenant’, Alejandro Gonzalez Inarritu, warga Amerika pertama dan warga Amerika Latin kedua yang mengetuai festival.

Filem yang menang arahan Bong Joon-ho dari Korea, ‘Parasite’, sejak itu telah menjadi amat popular, memenangi anugerah Golden Globe bagi filem asing terbaik dan enam pencalonan Oscar. — AFP

Advertisement