Anda di sini

Priscilla Wong Penyelidik Terbaik Kongres Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) 2019

 Pegawai Penyelidik BCCK, Priscilla Wong yang dianugerahkan Penyelidik Terbaik ICCA Tahun 2019.
TAHNIAH: Pegawai Penyelidik BCCK, Priscilla Wong yang dianugerahkan Penyelidik Terbaik ICCA Tahun 2019.

KUCHING: Pegawai Penyelidik Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Priscilla Wong, telah dianugerahkan sebagai Penyelidik Terbaik Kongres Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) Tahun 2019.

Menurut kenyataan akhbar BCCK semalam, Priscilla telah dinamakan sebagai Penyelidik Cemerlang Bulan Mac tahun lalu.

Justeru, beliau memenuhi syarat untuk dianugerahkan Penyelidik Terbaik Tahun tersebut dan anugerah ini diberi berdasarkan komitmennya dalam penyelidikan dan pengumpulan data.

“Kami bangga melihat pegawai penyelidik kami diiktiraf bukan hanya kerana sumbangan beliau kepada pusat konvensyen kami, tetapi juga untuk sumbangan beliau kepada rakan-rakan industri di Sarawak dan persatuan dalam skala global yang mempunyai akses kepada pangkalan data ICCA dalam mesyuarat dan konvensyen,” ujar Pengerusi BCCK, Datuk Raziah Mahmud-Geneid.

Menurut Pengurus Penyelidikan Data ICCA, Paula Ko pula, beliau berharap agar Priscilla akan menjadi inspirasi bagi ahli ICCA yang lain.

“Usaha beliau telah menyumbang kepada pembinaan kualiti dan kuantiti pangkalan data dalam talian kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif BCCK, Eric Van Piggelen menyuarakan rasa sukacitanya dan mengucapkan tahniah kepada Priscilla atas dedikasi dalam penyelidikannya.

“Kami berharap dapat menggunakan penyelidikannya untuk terus membawa BCCK ke hadapan dalam acara perniagaan di rantau ini dan seterusnya,” jelasnya.

Sementara itu menurut Priscilla, beliau memahami pentingnya menyumbang data ke pangkalan data ICCA, selain menumpukan perhatian untuk terus mengemaskinikan data secara kerap agar informasi itu relevan dan tepat.

“Walaupun proses mendapatkan maklumat yang betul memerlukan usaha dan memakan masa yang lama, maklumat ini sebenarnya menjadikan semuanya lebih mudah bagi semua anggota ICCA,” jelas Priscilla lagi.

Penyelidik Cemerlang Bulanan ICCA dipilih dengan mengukur kemas kini data yang diberikan kepada pangkalan data dalam talian ICCA.

Pada akhir tahun, penyelidik yang paling produktif dipilih daripada 12 penyelidik bulanan, untuk dilantik menjadi penyelidik terbaik bagi tahun itu.

ICCA yang merupakan pemimpin persatuan global bagi industri-industri mesyuarat antarabangsa dan mengkhusus dalam sektor perhubungan persatuan antarabangsa,  telah memberi penghargaan kepada para penyelidik sejak 2012.

Di samping itu, ICCA menggalakkan ahlinya dan penyelidik untuk berkongsi maklumat dan pengalaman mesyuarat mereka bersama rakan-rakan, dalam usaha untuk melonjakkan industri acara perniagaan antarabangsa dan komuniti.

Ia juga menawarkan data yang tidak dapat ditan-dingi, selain menawarkan pendidikan, saluran komunikasi, peluang perniagaan dan rangkaian sejak 1963.

Advertisement