Anda di sini

Ops Bersepadu: Hampir 10,000 penguat kuasa bertugas

 Loke (depan tiga kiri) bergambar ketika acara pelepasan bendera bagi konvoi selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2020 di kawasan Rehat dan Rawat Tapah (Arah Utara), Tapah. — Gambar Bernama
SIMBOLIK: Loke (depan tiga kiri) bergambar ketika acara pelepasan bendera bagi konvoi selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2020 di kawasan Rehat dan Rawat Tapah (Arah Utara), Tapah. — Gambar Bernama

TAPAH: Hampir 10,000 pegawai dan anggota penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) serta jabatan dan agensi sokongan lain bertugas, sepanjang Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Tahun 2020, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, bermula Sabtu ini hingga 1 Feb.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ops selama 15 hari yang bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’, itu diadakan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik kepada pengguna jalan raya.

“Sebanyak 6,040 daripada PDRM, 1,800 daripada JPJ dan 150 daripada JKJR serta jabatan lain bertugas. Malah kita mendapat bantuan sebanyak 5,000 petugas daripada pihak Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

“PLUS juga akan melaksanakan pemantauan trafik menggunakan dron di lokasi-lokasi strategik di lebuh raya pada waktu puncak,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ops berkenaan di kawasan Rehat dan Rawat Tapah arah utara di sini semalam.

Ops Bersepadu ini turut membabitkan penglibatan Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Kecemasan dan Trauma di bawah Kementerian Kesihatan.

Ops tersebut merangkumi empat program utama iaitu program pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan bersekali dengan pemantauan dan penilaian itu, bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna terutama pada musim perayaan, sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Loke berkata PDRM menerusi pelaksanan Ops Selamat akan mengadakan penguatkuasaan melalui unit Subtek yang beroperasi di empat zon utama negara iaitu zon utara, zon tengah, zon selatan dan zon timur, bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

“JPJ telah menjalankan praops bermula dari Sabtu lepas sehingga esok (hari ini), melibatkan pemeriksaan bas di 75 depoh dan 28 terminal bas utama seluruh negara, bagi tujuan memastikan bas berada dalam keadaan ‘road worthiness’.

“Seperti setiap tahun, terdapat beberapa kawalan akan dilaksanakan menjelang setiap musim perayaan, termasuk larangan ke atas kenderaan barangan tertentu pada 23 dan 24 Januari serta 27 dan 28 Januari,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 6,167 kematian, 567,516 kemalangan dan 5,764 kemalangan maut dicatatkan sepanjang tahun lepas.

Menurut Loke, pada kempen keselamatan jalan raya bersempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun 2019, sebanyak 20,829 kemalangan dilaporkan berbanding 21,041 kemalangan pada tahun 2018.

“Untuk tempoh yang sama, sebanyak 216 kematian akibat kemalangan jalan raya telah direkodkan berbanding 226 kematian pada tahun 2018, di mana terdapat penurunan sebanyak sepuluh kes kematian.

“Pada pandangan saya angka kematian 216 pengguna jalan raya untuk tempoh dua minggu semasa musim perayaan adalah masih tinggi, dan harapan saya adalah supaya semua pihak yang terlibat termasuklah pengguna-pengguna jalan raya berusaha untuk mengurangkan angka ini,” katanya. — Bernama

Advertisement