Anda di sini

KKM tidak wajibkan serai sebagai penyedut minuman di hospital

Dr Lee Boon Chye
Dr Lee Boon Chye

IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mewajibkan penggunaan serai sebagai penyedut minuman di kafe dan kantin hospital, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada operator kantin serta kafe sekiranya mendapati ia praktikal dan ekonomik.

"Sekarang ada banyak pilihan penyedut minuman, ada yang diperbuat daripada jagung dan kertas, jadi ada banyak pilihan. Kementerian tidak buat mikropengurusan (wajib gunakan serai) macam ini, itu terpulang kepada operator kantin dan kafe.

"Bagaimanapun ini cadangan yang baik sekiranya ia tidak membebankan dari segi kos kepada operator kantin dan kafe serta ia praktikal, ia amat digalakkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Klinik Kesihatan Bijih Timah di Jalan Sultan Yusof di sini hari ini.

Rabu lalu media melaporkan, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Senator Datuk Husam Musa mengumumkan serai akan digunakan sebagai penyedut minuman yang akan diperluaskan ke kafe hospital termasuk kepada pesakit bagi menggantikan plastik.

Husam berkata penggunaan serai sebagai penyedut minuman adalah sesuatu yang baharu dan sebagai permulaan, beliau mewajibkan penggunaannya di semua kafe KADA. - Bernama

Advertisement