Anda di sini

Juve, AC Milan mara ke separuh akhir Piala Itali

Advertisement
 Antara babak-babak aksi Piala Itali pusingan 16 terakhir di antara AC Milan dan SPAL di Stadium San Siro. — Gambar AFP
MENARIK: Antara babak-babak aksi Piala Itali pusingan 16 terakhir di antara AC Milan dan SPAL di Stadium San Siro. — Gambar AFP

MILAN, Itali: Cristiano Ronaldo tidak sihat untuk bermain sementara Zlatan Ibrahimovic menghabiskan sepanjang perlawanan di bangku simpanan tetapi walaupun tanpa bintang utama, Juventus dan AC Milan tidak menghadapi masalah untuk meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Itali Rabu lepas.

Juventus menewaskan Udinese 4-0 sementara Milan menewaskan SPAL 3-0 pada perlawanan awal.

Pada perlawanan pertama, Fiorentina menamatkan perlawanan dengan 10 pemain ketika menewaskan Atalanta 2-1.

Ronaldo tidak diturunkan kerana tidak sihat pada sebelah petang hari yang sama tetapi beliau bukan satu-satu pemain bintang dalam skuad.

Selepas minit ke-16, Paulo Dybala melepasi pertahanan Udinese, bergandingan cantik dengan rakan penyerang Gonzalo Higuain untuk membuka jaringan.

Sepuluh minit kemudian, selepas penjaga gol Udinese, Nicolas menjatuhkan Federico Bernardeschi, Dybala menyempurnakan penalti untuk gol kedua Juventus.

Dybala menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-58 sebelum Douglas Costa melengkapkan jaringan dengan penalti kedua dua minit kemudian selepas bola terkena tangan Bram Nuytinck.

Di San Sior, Krzysztof Piatek, yang dilaporkan diambang perpindahan ke Tottenham Hotspur, melepasi perangkap ofsaid SPAL untuk membuka jaringan pada minit ke-20.

Samuel Castillejo menambah jaringan sebelum rehat sebelum Theo Hernandez melengkapkan jaringan pada minit ke-66.

Di Tuscany, Pol Lirola mengawal umpanan jauh Erik Pulgar sebelum menjaringkan gol pertama beliau bersama Fiorentina, enam minit sebelum tamat permainan dan berjaya mengekalkan kedudukan walaupun bermain dengan 10 pemain ekoran penyingkiran German Pezzella 14 minit sebelum itu.

Patrick Cutrone juga menjaringkan gol pertamanya untuk meletakkan Fiorentina di hadapan pada minit ke-11 untuk penampilan sulung beliau dalam kesebelasan utama sejak tiba untuk kontrak pinjaman dari Wolves minggu lepas.

Atalanta mengikat kedudukan menerusi gol cantik Ilicic tetapi Lirola memastikan kemenangan Fiorentina untuk menempah pertemuan menentang Inter Milan.

Pemenang perlawanan itu akan bertemu sama ada Lazio atau Napoli di separuh akhir.

Inter menempah tempat ke suku akhir selepas menewaskan Cagliari sementara Lazio membelasah Cremonese 4-0 pada perlawanan hari Selasa. — AFP

Advertisement