
TAWAU : Maritim Malaysia Zon Tawau berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar syabu bernilai RM50 ribu ke negara jiran selepas berjaya menahan dua orang lelaki warga asing di perairan Tawau, di sini kelmarin.
Tangkapan itu dibuat pada jam 5 petang semasa bot kapal Maritim menjalankan tugas pemantauan di sekitar kawasan tanggungjawab.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva A/L Vengadasalam berkata pihaknya berjaya mengesan sebuah bot kayu bergerak keluar melulu dan mencurigakan dari Kampung Titingan, di sini.
"Tindakan pantas anggota kita berjaya memintas dan menahan suspek yang dipercayai mahu menuju keluar ke Pulau Nunukan, Indonesia," katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang juragan dan penumpang masing-masing berumur 41 dan 43 tahun di dalam bot tersebut. Setelah diperiksa kedua-dua suspek itu tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat sebuah bungkusan plastik berwarna hitam berbentuk bujur seperti bola ragbi di dalam bot kayu tersebut disyaki mengandungi dadah sejenis syabu (Methamphetamine) seberat 289 gram," katanya lagi.
Siva berkata, suspek serta barang rampasan ditahan dan dibawa masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau seterusnya diserahkan kepada Pegawai Unit Siasatan Jenayah Maritim untuk tindakan selanjutnya.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati dan Akta Imigresen 1959/63 manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah, bot dan enjin bernilai lebih kurang RM 60,000.00," katanya.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan seterusnya memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal.
"Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999" katanya