Anda di sini

Beberapa acara Golf Antarabangsa diadakan di Damai Golf & Country Club tahun ini

Advertisement
 Timbalan Setiausaha Negeri Sarawak Datu Ik Pahon (kanan) menyampaikan trofi juara acara berpasukan Pengawal NREB Justine Jok Jau semasa upacara penutupan dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Damai Golf & Country Club (DGCC).
TAHNIAH: Timbalan Setiausaha Negeri Sarawak Datu Ik Pahon (kanan) menyampaikan trofi juara acara berpasukan Pengawal NREB Justine Jok Jau semasa upacara penutupan dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Damai Golf & Country Club (DGCC).

KUCHING: Terdapat beberapa acara golf antarabangsa bakal diadakan di Damai Golf Country Club (DGCC) pada tahun ini dan bilangan pemain golf dari luar negara dijangka akan meningkat sempena dengan Kempen Melawat Malaysia.

Menurut Pengurus Besar DGCC, Roslan Mohd Salleh, kelab itu turut optimis dalam merebut peluang menjadi tuan rumah bagi edisi ketiga Kejohanan Sarawak 2020 yang merupakan sebahagian daripada Jelajah Asia tahun ini.

"Selain dari acara Jelajah Asia, beberapa acara golf berprestij akan diadakan di kelab kami dan ianya akan turut membantu dalam mempromosikan kelab kami dalam kalangan pemain golf terutama dari luar negara,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media semalam.

“Ia juga baik untuk industri pelancongan kita kerana ramai pemain golf asing akan datang bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakan mereka,” tambah beliau lagi.

Menurut Roslan juga, antara acara utama dalam kalendar kelab termasuklah kejohanan Terbuka Golf Damai Amateur Masters yang diiktiraf oleh Persatuan Golf Sarawak (SGA) dan Persatuan Golf Malaysia (MGA).

Pada Januari ini sahaja, kelab itu telah menerima banyak kunjungan daripada pemain pemain golf dari Semenanjung Malaysia dan di luar negara termasuk dari Korea Selatan, Brunei, Indonesia dan Singapura.

Meskipun musim hujan masih belum reda, pemain golf ini masih mengambil kesempatan untuk bermain di padang golf DGCC.

"Kami juga telah banyak menerima tempahan daripada syarikat korporat dan agensi kerajaan walaupun musim hujan belum reda dan ramai warga asing yang bercuti di Sarawak berkesempatan menikmati permainan golf di kelab kami," jelas Roslan.

Salah satu sebab banyak acara golf diadakan seawal Januari di DGCC adalah kerana kebanyakan permainan yang telah dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos dan September tahun lalu terpaksa dibatalkan berikutan keadaan jerebu teruk yang melanda Sarawak, Sabah dan Kalimantan Indonesia.

"Terdapat banyak peristiwa korporat yang perlu ditangguhkan dan dibatalkan kerana masalah jerebu tetapi ramai penganjur telah mengadakannya pada awal tahun ini," kata Roslan sambil menambah, sejumlah besar acara yang berlangsung di DGCC telag bermula pada 4 Januari.

Sementara itu, lebih 100 pemain golf telah mengambil bahagian dalam pertandingan golf persahabatan antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Lembaga Kawalan Sumber dan Alam Sekitar (NREB) yang berlangsung di DGCC baru-baru ini.

Dalam acara nett, Joseph Blandoi dari Lembaga Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) muncul juara dengan 68, manakala Abdul Rais Drahman menduduki tempat kedua dengan 69 pukulan dan Andrew Ngisun menduduki tempat ketiga.

Dalam acara gross, Awang Mazelan Awang Bakeri dari Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak muncul juara dengan 76 pukulan manakala Raymond Ling Seng Kiat menduduki tempat kedua dengan 81 pukulan dan Kedung Luhat berada di tempat ketiga dengan 84 pukulan.

Dalam acara antara pasukan, NREB muncul juara selepas mereka berjaya mengumpul 1,115 pukulan berdasarkan skor terbaik 15 pemain yang berentap dalam pertandingan ini.

Advertisement