Anda di sini

Pasukan hoki dari Australia melawat Sarawak

Advertisement
 Pemain hoki bawah 21 tahun HAC tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama skuad projek SUKMA Sarawak, bekas pemain tempatan dan tetamu lain selepas lawatan berakhir. Michael berdiri kanan sekali.
UNTUK ALBUM: Pemain hoki bawah 21 tahun HAC tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama skuad projek SUKMA Sarawak, bekas pemain tempatan dan tetamu lain selepas lawatan berakhir. Michael berdiri kanan sekali.

KUCHING: Arena hoki di Sarawak cukup bertuah selepas menerima lawatan dari pasukan hoki bawah 21 tahun Hockey Australia Country (HAC) pada 9 hingga 13 Januari lepas.

Pasukan itu dalam rangka lawatan di Malaysia dengan Sarawak menjadi hentian terbaharu mereka selepas di Sabah dua minggu lepas yang membawa misi mengangkat sukan hoki di kawasan luar bandar.

“Kita adalah kumpulan yang dibiayai sendiri dan tidak menerima apa-apa dana dari kerajaan mahupun Hockey Australia.

“Semua yang turut serta membiayai sendiri kos perjalanan mereka. Kita mempunyai seramai 67 ahli dalam pasukan ini di mana 50 adalah ibu bapa yang mengikuti jelajah ini untuk menyaksikan anak-anak mereka bermain,” kata Pengurus Jelajah, Michael Nelson.

Menurutnya, semua pemain dipilih sejak Ogos tahun lepas dari Kejohanan Kebangsaan HAC diadakan di Victoria, Australia.

Tambah beliau, ini kali pertama pasukan itu menjelajah di Asia dan Kuala Lumpur akan menjadi hentian terbaharu mereka selepas ini.

Semasa di sini, pasukan wanita HAC mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad projek SUKMA Sarawak dan bekas pemain Sarawak di Stadium Hoki Sarawak.

Manakala pasukan lelaki HAC menentang pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan bekas pemain Sarawak juga di venue sama.

“Ia pengalaman yang begitu mengujakan kepada pemain dan kami tidak sabar untuk kembali semula di sini kelak.

“Kami bukan sahaja diberi tentangan sengit dalam perlawanan persahabatan malah mendapat ramai kenalan baharu di sini,” katanya lagi.

Sementara itu, dua pemain projek SUKMA, Elisabeth Epui dan Suhaila Sata mendapat ‘bonus’ selepas dihadiahkan pakaian hoki ‘Rising Star’ dari jurulatih Asutralia, Jamie Pain.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan turut hadir pada perlawanan Ahad lepas.

Advertisement