Anda di sini

Pasukan gimnastik artistik wanita Sabah dalam senarai ke SUKMA

Advertisement
 Atlet gimnastik artistik wanita semasa pemilihan tahun lalu.
ARTISTIK WANITA: Atlet gimnastik artistik wanita semasa pemilihan tahun lalu.

 

KOTA KINABALU: Sabah turut menyenaraikan pasukan wanita gimnastik artistik untuk membolehkannya diwakili skuad penuh pada Sukan Malaysia (SUKMA) XX 2020 Johor.

Jurulatih gimnastik artistik wanita Sabah, Liew Tong Ee berkata, mereka telah diberi lampu hijau oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah untuk turut menghantar pasukan wanita di samping pasukan lelaki.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Gimnastik Artistik (SGA) Sabah menyenaraikan skuad penuh 12 atlet yang terdiri dari enam wanita dan enam lelaki yang telah dikenalpasti sejak tahun lalu.

Atlet lelaki terdiri daripada Brandon Denoley Luise, Ammar Zafi Firdaus, Abd Izzat Daniel Rauf, Charlie Richie Chong, Jacob Hezron dan Liew Jun Xiang.

Atlet wanita pula terdiri daripada Felicity Grace Sew Pei En, Nur Farisha Atiqah Shuaili, Ammanda Wong Yeah Chean, Jill Avie Horatio, Cherfie Resie Chong dan Natali Yap.

Brandon, Ammar, Izzat dan Charlie adalah atlet SUKMA 2018 manakala selebihnya muka baru.

Terdapat tiga lagi atlet Sabah mewakili negeri lain iaitu Albert Wong Wui Pin, Jenissia Juniol dan Tan Mui Kun.

"Penyertaan atlet kita dengan pasukan negeri lain ini baik untuk pendedahan sebagai persiapan menghadapi SUKMA akan datang," kata Tong Ee.

Pasukan lelaki akan diletakkan di bawah bimbingan Azri Omar dan Loy Billy manakala Tong Ee dan Zamri Din akan membimbing pasukan wanita.

Tong Ee yang turut membantu keseluruhan perancangan program latihan  atlet lelaki berkata, SGA mensasarkan pencapaian lebih baik dari atlet lelaki terutama Brandon dalam acara individu.

"Pasukan lelaki kita juga kini di ranking kedua berdasarkan analisis kita. Sekarang kita sedang berusaha bagaimana mahu menyaingi pasukan terbaik iaitu Pulau Pinang yang dibarisi tiga atlet kebangsaan," kata Tong Ee.

Pasukan wanita pula disasarkan meraih pingat dalam acara berpasukan.

Sebagai rekod, Sabah hanya diwakili pasukan lelaki pada SUKMA 2018 Perak dan telah membawa balik dua pingat perak dan dua gangsa.

Kedua-dua pingat perak dimenangi Brandon dalam acara melombol dan senaman lantai. Brandon juga menang gangsa keseluruhan individu dan membantu pasukan menang gangsa acara berpasukan.

"Harap-harap pencapaian kali ini lebih baik. Kami akan cuba yang terbaik dan berharap MSN Sabah juga akan terus membantu terutama dari segi kewangan bagi membiayai kos program latihan persiapan," kata Tong Ee.

Beliau berkata, antara masalah yang dihadapi atlet sekarang ialah peralatan yang digunakan bukan yang terkini di mana ia adalah perlatan yang digunakan sejak SUKMA 2002.

Perkembangan kemajuan atlet juga tidak dapat dipantau sepenuhnya kerana buat masa ini mereka tidak menjalani latihan berpusat.

"Apapun, persiapan tetap dijalankan dan kita pun akan terus berusaha terutama dengan adanya sokongan semua. Terima kasih dengan sokongan berterusan dari Kementerian (Belia dan Sukan Sabah), MSN Sabah, SGA, Lembaga Sukan Negeri Sabah dan ibu bapa," katanya.

SUKMA XX 2020 Johor dijadualkan berlangsung pada Julai.

 Atlet gimnastik artistik lelaki diharap dapat pencapain lebih baik pada SUKMA 2020.
ARTISTIK LELAKI: Atlet gimnastik artistik lelaki diharap dapat pencapain lebih baik pada SUKMA 2020.

 

  • oleh
  • Advertisement