Anda di sini

Lesen senjata api diguna untuk pemburuan haram akan dibatal

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lesen senjata api yang didapati diguna untuk tujuan pemburuan haram akan dibatal, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata proses penarikan lesen senjata api itu akan dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan pemburuan haram berterusan.

Pada masa ini terdapat lebih 6,900 pemegang lesen senjata api.

“Kegiatan pemburuan haram itu bukan lagi satu keperluan.

“Saya bersama bahagian perlesenan senjata api akan melakukan semakan dan memantau kawasan tumpuan memburu sebelum kami tarik semula lesen secara berperingkat,” katanya pada sidang akhbar sempena mesyuarat operasi bersepadu khazanah di Pusat Latihan Polis di sini semalam.

Sehubungan itu, Abdul Hamid memberi amaran kepada pemilik senjata api yang dilesenkan oleh PDRM supaya  menghentikan kegiatan pemburuan haram.

Beliau berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia berhenti daripada menjadikan kegiatan memburu sebagai hobi.

“Kita banyak makanan seperti ayam, lembu dan kambing. Kenapa perlu berburu? Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan yang selari dengan misi operasi bersepadu khazanah,” katanya.

Abdul Hamid berkata syarat-syarat pengeluaran senjata api untuk berburu juga akan diperketat seperti hanya untuk pemburuan bermusim.

Beliau berkata mereka yang menggunakan senjata api untuk menjaga tanaman tidak digalak untuk menembak haiwan seperti kera, monyet dan babi hutan yang menceroboh tanaman mereka, sebaliknya halau haiwan-haiwan itu.

“Saya minta mereka (peladang dan pekebun) kurangkanlah tembak haiwan-haiwan ini, kalau boleh sila elak walaupun syarat itu boleh menembak haiwan daripada menceroboh kawasan tanaman,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hamid berkata PDRM, Jabatan Kastam dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan terlibat dalam operasi bersepadu khazanah bagi menangani penyeludupan flora dan fauna.

“Ketiga-tiga agensi akan menangani segala isu yang melibatkan penyeludupan dan pemburuan hasil hutan serta haiwan,” katanya.

Ditanya mengenai penglibatan orang kenamaan (VVIP) dalam pemburuan haram, Abdul Hamid mendedahkan ada pihak tertentu ‘menjual’ nama VVIP untuk kegiatan pemburuan haram.

“Saya masih menunggu laporan dan maklumat lanjut daripada orang awam serta pihak badan bukan kerajaan (NGO) mengenai pembabitan VVIP dalam isu pemburuan secara haram,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata pihaknya akan mengehadkan musim pemburuan babi hutan kepada enam bulan.

Beliau berkata tujuan mengehadkan musim pemburuan haiwan itu adalah kempen untuk menyelamatkan Harimau Malaya yang menjadikan haiwan itu sebagai makanananya.

“Sebelum ini PERHILITAN telah membuka musim memburu babi hutan sepanjang tahun tetapi dengan isu pemburuan berleluasa ini kami terpaksa mengehadkannya,” katanya. — Bernama

Advertisement