Anda di sini

Keluar hospital, balik ke Jepun

Advertisement
 Momota (dua kiri) dan dua pegawai sukan Jepun yang cedera dalam kemalangan di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di Serdang, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk pulang ke Jepun. — Gambar Bernama
DIKAWAL: Momota (dua kiri) dan dua pegawai sukan Jepun yang cedera dalam kemalangan di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di Serdang, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk pulang ke Jepun. — Gambar Bernama

SEPANG: Pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota dan dua pegawai sukan Jepun yang cedera dalam kemalangan awal pagi Isnin di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di Serdang, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam untuk pulang ke Jepun.

Momota dan dua pegawai sukan itu tiba di KLIA kira-kira jam 8.10 pagi dalam tiga kenderaan berasingan dan disambut oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Mereka yang memakai topeng muka kemudiannya dibawa menaiki ‘buggy’ di balai pelepasan KLIA serta dikawal ketat.

Mereka kemudian dibawa ke bilik VVIP KLIA sebelum berlepas menaiki penerbangan ke Jepun yang dijadualkan pada jam 9.40 pagi.

Momota dan dua pegawai berkenaan keluar dari Hospital Putrajaya malam kelmarin dan menginap transit di sebuah hotel berhampiran KLIA sebelum berlepas ke Jepun untuk penerbangan pagi.

Dalam kejadian 4.40 pagi Isnin, van yang membawa Momota dan tiga lagi dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori, menyebabkan pemandu van B. Nageswarau, 24, meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain Momota, turut cedera ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35; pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42; dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye.

Momota menjuarai kejohanan Masters Malaysia dengan menumpaskan bekas juara dunia dari Denmark Viktor Axelsen di peringkat akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Ahad.

Sementara itu, Norza berkata Momota semakin pulih daripada kecederaan yang dialaminya dan akan menerima rawatan lanjut di Jepun.

“Semua termasuk Momota… Saya boleh katakan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di KLIA.

Sementara itu, beliau menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan itu.

“Jangan buat spekulasi, tunggu sehingga kertas siasatan lengkap,” katanya sambil mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan kerjasama semua pihak berhubung nahas itu. — Bernama

Advertisement